BANGI, 21 JAMADILAWAL – “‘Adab mendahului ilmu.’ Ungkapan ringkas ini sarat makna, satu falsafah yang sepatutnya menjadi asas pembentukan insan. Namun, dalam arus deras kemajuan teknologi dan dunia digital, maknanya semakin pudar.
Nilai adab yang suatu ketika dahulu menjadi tunjang peradaban bangsa kini semakin jauh daripada pegangan hidup generasi muda.
Baru-baru ini, seorang bekas guru yang juga pempengaruh pendidikan, Mohd Fadhli Salleh, memuat naik hantaran berkenaan bahasa yang digunakan oleh generasi muda, khususnya generasi Alpha – yang dilihat semakin kurang sopan dan longgar adabnya.
Lebih menyedihkan, isu yang dibangkitkan bukanlah perkara besar, sekadar berbalas emel. Namun, bahasa yang digunakan oleh pelajar-pelajar tersebut amat kasar dan tidak wajar, menggambarkan betapa halusnya nilai adab itu kini kian luput daripada jiwa.
Pilunya hati tatkala membaca satu demi satu balasan emel yang mencerminkan hilangnya budi bahasa dan rasa hormat.
Fenomena buli siber, penghinaan di media sosial, serta sikap tidak hormat antara pelajar bukan lagi kes terpencil. Ia bukan sekadar masalah disiplin, tetapi cerminan kepada keruntuhan nilai murni dan kehilangan budi pekerti dalam kalangan generasi muda hari ini.
Puncanya bukan semata-mata kerana lemahnya kawalan disiplin, tetapi kerana hilangnya adab dan empati. Pelajar yang beradab tahu menghormati orang lain, memahami batas tutur kata, dan sedar bahawa setiap manusia mempunyai maruah yang wajib dijaga.
Pendidikan tanpa adab hanya akan melahirkan generasi cerdik pandai yang kosong jiwa.
Di sinilah letaknya peranan sekolah, universiti, ibu bapa dan masyarakat, untuk mengembalikan roh pendidikan yang sebenar. Adab tidak boleh diajar dengan kata-kata semata-mata, tetapi mesti ditunjukkan melalui teladan.
Di alam maya, kata-kata boleh menjadi senjata yang melukakan. Ruang siber yang sepatutnya menjadi wadah ilmu dan perkongsian positif kini sering disalah guna untuk menjatuhkan, menghina dan membuli.
Pendidikan seharusnya membina insan yang seimbang — dari segi akal, jiwa dan moral. Namun sistem kita hari ini lebih menekankan pencapaian akademik, kemahiran dan kebolehpasaran semata-mata.
Sekolah kian menjadi kilang yang melahirkan ‘pekerja berkelulusan’, bukan insan beradab. Kita telah mengabaikan aspek rohani dan moral yang menjadi asas kepada pembangunan insan. Maka tidak hairanlah apabila kita melihat pelajar yang hilang rasa hormat terhadap guru, rakan, malah terhadap diri sendiri.
Dalam hantaran tersebut, ramai netizen menuding jari kepada ibu bapa, kononnya terlalu memanjakan anak-anak. Ada juga yang mengingatkan bahawa ibu bapa ialah acuan utama dalam membentuk sahsiah anak.
Seperti mana ibu bapanya, begitulah anak-anaknya.
Perhatikanlah adab anak-anak kita.
Kerana, kemana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi?
Hidayatul Akmal Ahmad, Wartawan TV Pertiwi