BANGI, 5 RABIULAWAL – Perdana Menteri mengakui kemungkinan wujud beberapa kelemahan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) 2025, tetapi menyatakan ia bukan alasan untuk pihak tertentu membantahnya.
Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pihak berkenaan mengemukakan cadangan untuk penambahbaikan RUU URA 2025 dan bukan membuat dakwaan konon kerajaan mahu merampas rumah didiami rakyat bagi memberi laluan kepada pembangunan semula.
“Soal nilai ambang (yang menjadi antara pertikaian dalam RUU berkenaan) boleh dibincangkan ketika perbahasan, tetapi saya mahu sebut pengalaman peribadi dan saya percaya Yang Berhormat boleh lihat seperti rumah Sri Perlis di sini, (dilengkapi) satu bilik, teruk benar.
“Jika ada cadangan lain (untuk tambah baik RUU URA 2025), kemukakan tetapi jangan (dakwa) seolah-olah mahu rampas (rumah). Rampas apa… saya pergi tengok rumah sebilik (didiami) dua keluarga dengan satu daripadanya ada enam anak,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) mengenai rasional nilai ambang dalam RUU URA 2025 untuk pembangunan semula bandar pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, tanggungjawab kerajaan ialah mencari kaedah membangunkan semula rumah dengan tiga bilik minimum untuk satu keluarga.
“Ya mungkin ada beberapa kelemahan, tetapi kita cuba betulkan. Namun, (bukan) hanya menyerang tanpa (syor penambahbaikan),” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi