BANGI, 4 RABIULAWAL – Semua Ahli Parlimen rentas parti digesa menolak Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) sebagai menghormati hak pemilik rumah, kata Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong.
Terdahulu, Choo Seong menjelaskan beberapa faktor utama mengapa semua pihak termasuk rakyat perlu membantah RUU URA.
Tegas beliau, naratif yang disampaikan berhubung RUU itu ibarat indah khabar dari rupa kerana kerajaan hanya menceritakan dari sudut positif tetapi tidak mengetengahkan aspek negatifnya.
Dedah beliau, melalui akta itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai kawasan pembangunan semula bandar.
“Ini mewujudkan ruang untuk penyalahgunaan dan penyelewengan kuasa.
“Bukankah masa jadi pembangkang, DAP mahu menutup apa juga ruang yang boleh mengarah ataupun membuka kepada gejala rasuah?” soalnya dalam video yang dimuat naik di TikTok beliau semalam.
Media sebelum ini melaporkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming akan meneruskan pembentangan RUU URA di Dewan Rakyat hari ini meskipun menerima pelbagai bantahan termasuk daripada beberapa wakil rakyat kerajaan.
Kor Ming tetap mempertahankan URA dan menyatakan peruntukan undang-undang itu akan memberi pampasan adil dan lebih daripada nilai pasaran kepada pemilik kediaman.
Kenyataan itu bagaimanapun dipersoalkan oleh peguam, Rafique Rashid yang mencabar menteri DAP terbabit mengemukakan bukti dengan menunjukkan secara terperinci peruntukan RUU tersebut yang memberikan jaminan tersebut
Mengulas lanjut, Choo Seong berkata, kebimbangan kedua ialah rakyat selaku kedua atau pemilik kediaman serta tanah akan terdedah kepada pemindahan secara paksaan.
Menurut beliau, di bawah RUU ini, pihak pemaju tidak perlu mendapatkan persetujuan semua penduduk untuk melaksanakan ‘projek pembangunan semula’ di kawasan ditetapkan menteri.
Jelasnya, pihak pemaju hanya perlu mendapatkan 80% persetujuan daripada pemilik untuk bangunan berusia bawah 30 tahun.
“Pemaju perlu dapatkan persetujuan 75% untuk bangunan berusia lebih 30 tahun dan 51% untuk bangunan yang terbiar atau dianggap tidak selamat.
“Bagi pemilik yang tidak setuju, boleh dikenakan pengambilan secara paksaan di bawah akta pengambilan tanah.
“Adakah DAP mahu usir rakyat marhaen di bandar khususnya secara berperingkat?” katanya.
Selain itu, Choo Seong turut meluahkan kebimbangan apabila hanya pemaju yang dilantik dan diluluskan oleh menteri sahaja boleh melaksanakan projek pembangunan semula tersebut.
Beliau berkata, pemilik tanah sama ada yang bersetuju atau tidak, dilihat tidak ada hak untuk bersuara.
“Kita tak mahu risiko pemindahan secara paksaan ini dan layanan tidak adil terpaksa ditanggung pemilik rumah di kemudian hari khususnya bagi golongan yang kurang berkemampuan.
“Jadi YB Nga (Kor Ming), kalau kamu lebih mengutamakan rakyat berbanding broker dan taikun-taikun atau golongan maha kaya ini, maka dengarlah suara dan denyut nadi rakyat. Jangan laksanakan URA,” kata beliau.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi