Kekurangan dana PBB jejaskan usaha keadilan untuk pelarian Rohingya

GENEVA, 29 SAFAR  – Pemotongan berjuta-juta dolar daripada dana penderma serta langkah penjimatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) boleh menjejaskan pengumpulan bukti dan melemahkan usaha mendapatkan keadilan untuk pelarian Rohingya dari Myanmar.

Ketua Mekanisme Siasatan Bebas Untuk Myanmar (IIMM), Nicholas Koumjian, bimbang langkah pengurangan kos operasi akan menjejaskan usaha membawa pelaku jenayah ke muka pengadilan.

“Ia akan menjejaskan kemampuan untuk mensabitkan kesalahan kerana kita kehilangan keupayaan,” katanya dalam wawancara di Geneva.

Sejuta etnik Rohingya, minoriti Muslim, melarikan diri dari serangan tentera Myanmar pada Ogos 2017, kempen yang dilihat oleh pendakwa sebagai contoh klasik pembersihan etnik.

Tentera Myanmar mendakwa operasi itu adalah kempen sah menentang keganasan sebagai tindak balas terhadap serangan penduduk Muslim dan bukan program terancang pembersihan etnik.

IIMM yang ditubuhkan oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada 2018 untuk menganalisis bukti pelanggaran serius undang-undang antarabangsa, membantu bidang kuasa yang menyiasat dakwaan penganiayaan Rohingya, termasuk Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Jika tiada tambahan dana diterima menjelang akhir tahun, IIMM terpaksa menghentikan projek sumber terbuka serta siasatan terhadap keganasan seksual dan jenayah terhadap kanak-kanak, kata Koumjian.

Kekurangan dana berlaku ketika PBB berdepan krisis kecairan, menyebabkan hanya 73 peratus daripada bajet tahunan IIMM berjumlah AS$15 juta dapat digunakan.

Ia juga berdepan kekurangan hampir AS$9 juta bagi tempoh dua tahun akan datang dalam geran sukarela daripada penderma, termasuk Britain, Kanada dan Kesatuan Eropah (EU) sebelum ini, menurut dokumen sulit yang dilihat Reuters. Seorang jurucakap IIMM kemudian berkata, anggaran kekurangan kini AS$6.2 juta.

“Ia memberi tekanan yang teruk untuk kami cuba menampung bajet dengan kekangan ini,” kata Koumjian, bekas pendakwa dari Amerika Syarikat yang pernah mengendalikan kes jenayah perang Bosnia dan Sierra Leone.

Beliau berkata, pentadbiran Trump menamatkan dua daripada tiga geran, sementara penderma lain memberi isyarat akan menghentikan pembiayaan pada hujung tahun, tanpa memberi butiran lanjut.

Jabatan Negara AS tidak memberi maklum balas kepada permintaan komen. Washington sebelum ini memaklumkan menyalurkan AS$3 juta untuk mengumpul dan menganalisis bukti sumber terbuka mengenai pelanggaran undang-undang antarabangsa paling serius di Myanmar sejak 2011, termasuk perlindungan saksi.

Saksi Berdepan Bahaya

Mandat IIMM meliputi siasatan terhadap jenayah yang didakwa dilakukan ke atas Rohingya di Myanmar sejak rampasan kuasa tentera pada 2021. Ia sudah menyerahkan bukti kepada ICC, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Argentina dan Britain.

Namun, pemotongan dana bermakna perlindungan dan perkhidmatan kaunseling kepada saksi dihentikan, kata Koumjian.

“Akibatnya boleh jadi sangat besar, kerana kadang-kadang kami memberi bantuan kepada individu dalam situasi mengancam nyawa,” katanya.

Bulan ini, IIMM melaporkan pihaknya menemukan bukti penyeksaan sistematik oleh pasukan keselamatan Myanmar.

Kerajaan tentera Myanmar pula menegaskan mereka menjalankan “langkah keselamatan” secara sah dan tidak menangkap, menyeksa atau menghukum mati orang awam yang tidak bersalah, sebaliknya menuduh “pengganas”.

Pasukan Koumjian turut membantu meneliti ratusan ribu hantaran media sosial dari kempen 2017 terhadap Rohingya bagi mengenal pasti ucapan kebencian, dan menemui 43 akaun dikaitkan dengan tentera, menunjukkan bahawa “negara sendiri menghasut kebencian.”

Jurucakap tentera Myanmar tidak memberi maklum balas kepada panggilan berulang Reuters untuk mendapatkan komen. – REUTERS

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Pimpinan DAP keterlaluan, Veteran UMNO pertahan Dr Akmal

Next Post

Kaitkan denda solat Jumaat dengan ekstremisme, COO myBurgerLab dikecam

Related Posts