BANGI, 29 SAFAR – Kelab Veteran UMNO yang menyifatkan pemimpin DAP bertindak keterlaluan dalam isu Ketua Pemuda UMNO, mengingatkan bahawa Kerajaan Perpaduan tidak mungkin wujud tanpa penyertaan parti itu.
Pengerusinya, Datuk Othman Desa berkata, Perdana Menteri perlu memberi perhatian serius terhadap perkara itu supaya kestabilan politik dapat dikekalkan hingga tamat penggal pentadbiran.
Menurutnya, tindakan pimpinan DAP mendesak sayap pemudanya, DAPSY, membuat laporan polis terhadap Datuk Dr Muhammad Akmal Salleh, tidak membantu usaha memperkukuh semangat saling hormat-menghormati dalam Kerajaan Perpaduan.
“Tindakan begini bukan sahaja tidak membantu perpaduan, malah menjejaskan usaha membina suasana saling hormat-menghormati dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau menegaskan, Veteran UMNO berdiri teguh dan bersolidariti penuh bersama Dr Akmal, terutama dalam isu melibatkan Jalur Gemilang sebagai simbol kedaulatan dan maruah negara.
Katanya, usaha menjaga kestabilan dan memupuk perpaduan dengan penuh toleransi adalah tanggungjawab bersama.
Namun, beliau menegaskan bahawa Veteran UMNO tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang memperlekehkan atau mengabaikan kemuliaan Jalur Gemilang.
“Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai kain, tetapi simbol kemerdekaan dan maruah negara. Jika ada pihak mempermainkannya, kami barang pasti tidak akan berdiam diri,” ujarnya.
Beliau menggesa rakyat menghayati nilai patriotisme sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-68 serta menolak mana-mana pihak yang cuai atau tidak bertanggungjawab terhadap simbol negara.
Dr Akmal bersama Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang mengadakan satu himpunan berhubung isu bendera terbalik baru-baru ini.
Sebelum ini, media melaporkan permohonan maaf pemilik premis perkakasan yang mengakui kesilapannya sehingga mencetuskan rasa kurang senang masyarakat di seluruh negara.
Ia selepas beberapa platform media sosial menyiarkan rakaman berdurasi 21 saat memaparkan tindakan pemilik kedai berusia 59 tahun itu mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik pada sebatang besi sebelum seorang pekerjanya merakam aksi berkenaan.
Perbuatan itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet yang mahu tindakan diambil susulan kejadian seumpama itu dilihat semakin menjadi-jadi, terutama ketika negara bakal menyambut Hari Kemerdekaan ke-68.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi