Oleh Wartawan Tv Pertiwi
BANGI, 19 SYAWAL – Tindakan Israel menyekat bantuan kemanusiaan ke Gaza adalah perbuatan kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Justeru, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan negara haram Israel itu kerana ia jelas melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini berkata, bantuan kemanusiaan ke Gaza sangat diperlukan rakyat Palestin yang kini berdepan ancaman penghapusan etnik dan genosid.
Tegasnya, tindakan Israel menghukum rakyat Palestin dengan sengaja menghalang penghantaran keperluan asas seperti makanan, air, bahan bakar dan bekalan perubatan ke Gaza adalah tidak berperikemanusiaan dan tidak masuk akal.
“Tindakan rejim yang tidak bermoral ini juga merupakan pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan pencabulan terang-terangan terhadap hak asasi manusia,” menurut kenyataan itu memetik Bernama.
Malaysia sekali lagi menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin dan menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta masyarakat antarabangsa mengambil tindakan segera untuk memaksa Israel menghentikan kekejaman yang sedang dilakukan..
Kementerian itu turut mengulangi gesaan agar konflik dan pertumpahan darah di Gaza dihentikan serta-merta, dan supaya hak rakyat Palestin dipulihkan sepenuhnya, termasuk hak menentukan nasib sendiri dan penubuhan negara berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
“Malaysia kekal teguh dalam solidariti bersama rakyat Palestin dan akan terus memperjuangkan keamanan, kebebasan dan keadilan di semua platform antarabangsa,” tambah kenyataan itu.
Menurut laporan antarabangsa, penghantaran bantuan ke wilayah Palestin telah terhenti sejak 2 Mac, beberapa minggu sebelum Israel melanggar gencatan senjata sementara dengan melancarkan semula serangan udara pada 18 Mac dan kemudian melancarkan semula serangan darat.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi