BANGI, 24 SAFAR – Mahkamah Majistret Sepang, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM2,000 terhadap seorang wanita warga China yang mencederakan pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), minggu lalu.
Majistret Khairatul Animah Jelani membuat keputusan itu selepas tertuduh, Fang Fuyuan, 31, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin.
Fuyuan didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap pegawai imigresen, Nurdiana Atirah Shapinaz Abdul Rahman, ketika mangsa sedang bertugas di Kaunter Imigresen di Aras 4 Balai Pelepasan KLIA Terminal 1, kira-kira jam 8 malam, pada 13 Ogos lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sebelum itu peguam tertuduh, Tai Ying Fung dan Jason Anthony, merayu hukuman ringan dengan alasan anak guam mereka menyesal, mengaku bersalah pada sebutan pertama serta memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan.
“Tertuduh masih muda, tiada rekod jenayah, mempunyai suami serta dua anak kecil berusia setahun setengah dan lima tahun yang bergantung penuh kepadanya. Mereka sekeluarga berada di Malaysia tanpa sokongan keluarga lain.
“Kejadian ini berpunca akibat salah faham dan masalah komunikasi dengan pegawai imigresen. Ia berlaku secara spontan dan bukan dirancang,” katanya.
Peguam turut memohon mahkamah hanya mengenakan denda memandangkan Fu Yuan sudah direman lima hari serta faktor dua anaknya yang memerlukan perhatian seorang ibu.
Timbalan Pendakwa Raya, Luvithaa Veerasamy memohon hukuman setimpal dikenakan atas alasan kepentingan awam dan sebagai pengajaran kepada tertuduh serta orang ramai.
“Walaupun tertuduh mendakwa bertindak kerana emosi, tindakannya tetap mencederakan seorang penjawat awam. Mahkamah perlu memberi isyarat jelas bahawa kesalahan begini tidak boleh diterima masyarakat,” katanya.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sebulan bermula tarikh tangkap pada 13 Ogos lalu, serta denda RM2,000. Jika gagal membayar denda, tertuduh akan dipenjara dua bulan lagi.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi