BANGI, 27 MUHARRAM – Serbuan polis terhadap program perjumpaan tertutup golongan gay di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini, mendapati jemputan program itu tidak menyatakan sebarang penglibatan atau penganjuran badan bukan kerajaan (NGO), Klinik Kesihatan atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya juga mendapati tiada sebarang maklumat yang menunjukkan program itu mendapat kelulusan atau pemantauan daripada mana-mana pihak berkuasa.
Katanya, tindakan polis adalah berasaskan maklumat risikan dan bukti yang sah tanpa sebarang niat diskriminasi, selain tujuan utama adalah menjaga ketenteraman awam dan nilai moral masyarakat.
“Pada hari kejadian, Pasukan Task Force memantau kediaman itu sejak pukul 5 petang dan sekitar jam 8 malam, didapati kehadiran meningkat seramai kira-kira 100 orang dengan aktiviti makan dan sembang-sembang santai.
“Dalam sekitar jam 11 malam, didapati majoriti pengunjung telah meninggalkan lokasi terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, hasil risikan dan temu bual awam yang dijalankan oleh Pasukan Task Force Polis Kelantan mendapati jemputan datang ke program ini melalui WhatsApp.
Media sebelum ini melaporkan polis Kelantan menyerbu perjumpaan gay membabitkan lebih 100 lelaki berusia antara 20 hingga 30-an di sebuah banglo di Kemumin, Kota Bharu, pertengahan Jun lalu.
Bagaimanapun semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan bahawa program itu yang didakwa mempunyai kaitan agenda lesbian, gay, biseksual, transgender dan kelompok mempersoal identiti seksual (LGBTQ) merupakan program kesedaran kesihatan melibatkan Human Immunodeficiency Virus (HIV).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, di platform X yang mengesahkan perkara itu turut berkongsi kenyataan Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin yang menyatakan aktiviti itu dijalankan oleh Persatuan Pengantara Pesakit Kelantan (Sahabat) yang beroperasi di bawah Yayasan AIDS Malaysia.
Mohd Yusoff berkata, pasukan polis mengambil langkah berjaga-jaga dan hanya bertindak kira-kira jam 1 pagi bagi memastikan operasi berjalan lancar tanpa risiko kepada keselamatan awam.
Ketika serbuan, katanya polis mendapati seramai 20 lelaki berada di premis itu dan mengaku merupakan komuniti gay.
Selain itu, katanya tiada wakil dari NGO atau mana-mana agensi kesihatan kerajaan, termasuk KKM.
Hasil dokumentasi terhadap 20 orang di premis itu, katanya polis mendapati 18 orang berasal dari Kelantan, Perak (1) dan Terengganu (1) yang merupakan pelajar di Institusi Pengajian Tinggi di Kelantan.
Katanya, hasil pemeriksaan terhadap telefon bimbit mereka mendapati tiga orang memiliki video lucah melibatkan hubungan sesama jenis.
Malah, katanya sebahagian daripada mereka mengaku pernah melibatkan diri dalam aktiviti seks sejenis.
“Tiga lelaki yang memiliki bahan lucah dituduh mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Kota Bharu pada 20 Julai lalu. Mereka mengaku bersalah dan membayar denda antara RM 3,000 hingga RM4,000,” katanya.
Beliau berkata, polis juga menemui beratus kondom dan beberapa kotak ubat HIV dalam bilik premis itu.
Mohd Yusoff berharap penjelasan ini dapat menepis kekeliruan serta spekulasi yang tular, selain menasihat orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih dan terus memberi kerjasama kepada pihak berkuasa demi keharmonian negeri ini.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi
Teringat kata² Sir Azri,mmng btl lah,KP Kelantan ini wajahnya mmng mirip wajah pelakun Salleh Kamil yg membawa watak ‘Buang’ yg mnjadi pengkhianat & tali barut tentera Jepun dlm filem Sarjan Hassan arahan Tan Sri P.Ramlee.
Setiap watak serta kisah² yg terdpt didlm setiap filem² arahan TS.P.Ramlee itu sbnrnya adalah watak² manusia yg benar² ujud & berada disekeliling kita didlm kehidupan nyata.
Yg masih mnjadi tandatanya adalah mengapakah pihak risikan PDRM tidak siasat btl² terlebih dahulu utk mndptkn maklumat lanjut ttg program itu berkaitan dgn apa sbnrnya,siapa yg menganjurkannya.Kononnya ada risikanlah,itulh,inilah, tetapi hasilnya cuma main serbu buta² ajalah.Tak professional & tiada kredibiliti,mcm seolah² sengaja utk mencemarkan nama negeri Kelantan saja.