Oleh Balqis Idris
BANGI, 19 RAMADAN — Lajnah Penerangan PAS menuntut janji Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memadam akaun Facebook Harith Iskander dan penghina Nabi Muhammad SAW.
Pengarah Jabatan Kajian dan Polisinya, Ir Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata walaupun SKMM sudah membuat permohonan kepada Meta namun akaun itu masih aktif.
“Pihak SKMM sudah menghantar permohonan penutupan akaun Facebook milik kedua-dua pihak (Harith dan Cecelia).
“Tetapi semakan aku sebentar tadi Facebook Harith masih boleh diakses. Sudah dua minggu masih boleh diakses.
“Sudah menghina Islam, hina Rasulullah masih boleh akses Facebook diakah? Kalau akaun dan kiriman mengkritik Perdana Menteri, laju pula kena sekat,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi coretan di laman Facebook miliknya hari ini mempersoalkan tindakan SKMM yang seakan berat sebelah.
SKMM mengenakan kompaun sebanyak RM10,000 kepada Harith dan Cecelia berhubung muat naik kandungan dan komen menghina agama Islam.
Kandungan tersebut diturunkan Meta selepas melanggar garis panduan komuniti Facebook dan permohonan untuk menutup akaun mereka.
Dalam perkembangan sama, Nurul Islam mempersoalkan tindakan SKMM yang dikatakan berat sebelah dalam mengambil tindakan.
“Kepada Datuk Fahmi Fadzil, kenapa Harith ini kebal sangat? Jangan ingat rakyat Malaysia akan lupa dan Harith akan terlepas begitu sahaja.
“Tolonglah berfungsi sikit. Sudah dapat Datuk pun masih lemau lagikah?” soalnya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi