Smotrich lancar pelan penempatan untuk ‘kebumikan’ idea negara Palestin

TEL AVIV, 21 SAFAR – Menteri Kewangan Israel berhaluan kanan, Bezalel Smotrich, mengumumkan kerja-kerja pembinaan bagi projek penempatan yang tertangguh sekian lama akan dimulakan.

Projek itu bakal memisahkan Tebing Barat dan Baitul Maqdis Timur, langkah yang menurut pelampau Zionis akan “menguburkan” idea penubuhan negara Palestin.

Kerajaan Palestin, sekutu antarabangsa dan kumpulan aktivis yang mengecam rancangan itu, menyifatkannya sebagai haram dan memberi amaran bahawa pemecahan wilayah akan menggagalkan sebarang pelan damai di rantau itu.

Berdiri di lokasi penempatan yang dirancang di Maale Adumim semalam, Smotrich yang juga seorang peneroka haram Yahudi berkata, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, bersetuju untuk menghidupkan semula projek pembangunan E1, walaupun tiada pengesahan segera daripada kedua-dua pihak.

“Sesiapa di dunia ini yang cuba mengiktiraf negara Palestin, hari ini akan menerima jawapan kami di lapangan. Bukan dengan dokumen, keputusan atau kenyataan, tetapi dengan fakta. Fakta rumah, fakta kejiranan,” kata Smotrich.

Jurucakap Jabatan Negara AS ketika diminta mengulas berkata: “Tebing Barat yang stabil akan memastikan keselamatan Israel dan selaras dengan matlamat pentadbiran ini untuk mencapai keamanan di rantau ini,” sambil merujuk media kepada kerajaan Israel bagi maklumat lanjut. Washington menegaskan fokus utamanya kekal untuk menamatkan perang di Gaza.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Israel menarik balik keputusan memulakan kerja pembinaan penempatan itu.

“Ia akan menamatkan prospek penyelesaian dua negara,” kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric. “Penempatan bercanggah dengan undang-undang antarabangsa … (dan) semakin mengukuhkan pendudukan.”

Israel membekukan pelan pembinaan di Maale Adumim pada 2012, dan sekali lagi pada 2020, berikutan bantahan AS, sekutu Eropah dan kuasa-kuasa lain yang menganggap projek itu sebagai ancaman kepada sebarang perjanjian damai masa depan dengan Palestin.

Menghidupkan semula projek itu dijangka semakin mengasingkan Israel, yang kini berdepan kecaman sebahagian sekutu Barat terhadap serangan ketenteraan di Gaza dan kemungkinan pengiktirafan negara Palestin oleh beberapa negara tersebut.

Palestin bimbang pembinaan penempatan di Tebing Barat yang meningkat mendadak sejak serangan Hamas pada 2023 yang mencetuskan perang Gaza akan menafikan mereka peluang membina negara sendiri di wilayah itu.

Dalam kenyataan bertajuk “Menguburkan idea negara Palestin”, jurucakap Smotrich berkata menteri itu telah meluluskan rancangan membina 3,401 rumah bagi peneroka Israel di antara sebuah penempatan sedia ada di Tebing Barat dan Baitulmaqdis.

Di Maale Adumim, Smotrich, seorang pelampau Yahudi yang menyokong kedaulatan Israel ke atas Tebing Barat, memberitahu Reuters bahawa pelan itu akan dikuatkuasakan pada Rabu.

Breaking the Silence, kumpulan hak asasi Israel yang diasaskan bekas tentera Israel, menyifatkan langkah itu sebagai “rampasan tanah” yang “bukan sahaja akan memecah-belah wilayah Palestin, tetapi akan terus mengukuhkan apartheid”.

Jurucakap Presiden Palestin, Nabil Abu Rudeineh, menggesa AS menekan Israel agar menghentikan pembinaan penempatan.

Jurucakap Suruhanjaya Eropah, Anitta Hipper, berkata: “EU menolak sebarang perubahan wilayah yang bukan sebahagian daripada persetujuan politik antara pihak-pihak terlibat. Jadi pengilhakan wilayah adalah haram di bawah undang-undang antarabangsa.”

Menteri Luar Britain, David Lammy, berkata rancangan itu mesti dihentikan. “UK amat menentang rancangan penempatan E1 oleh kerajaan Israel, yang akan membahagikan negara Palestin masa depan kepada dua dan menjadi pelanggaran terang-terangan undang-undang antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan e-mel. – REUTERS

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Tindakan Akmal di Kepala Batas satu bentuk buli, ugutan – DAP

Next Post

Selagi tiada penguatkuasaan tegas, kes bendera terbalik akan berulang

Related Posts