Oleh: Tyah Helmi
BANGI, Khamis – Puluhan ribu rakyat Lubnan mula kembali ke kediaman masing-masing sejak Rabu sejurus bermulanya gencatan senjata antara Israel-Hizbullah.
Menurut laporan media antarabangsa Aljazeera, ribuan Lubnan menuju ke selatan negara itu, meskipun tentera Israel mengeluarkan amaran bahawa penduduk tidak dibenarkan kembali ke kawasan tersebut.
Sementara itu, keadaan lebuh raya utama yang menghubungkan Beirut ke bandar-bandar selatan yang lain turut sesak dengan kehadiran ribuan rakyat yang bergegas pulang membawa barang-barang masing-masing yang diikat pada kenderaan.
Dimaklumkan, jalan raya dari ibu negara Lubnan ke selatan sesak dari sebelum subuh dengan beribu-ribu orang dalam perjalanan pulang ke rumah.
Wartawan AFP melihat kereta dan bas mini memuatkan ramai penumpang yang membawa tilam, beg pakaian dan selimut, dengan beberapa membunyikan hon dan menyanyi kegembiraan.
Di bawah syarat perjanjian gencatan senjata antara Israel-Hizbullah menetapkan bahawa tentera Lubnan akan tetap mengukuhkan kedudukannya di Selatan,Lubnan yang merupakan medan Hizbullah telah lama berkuasa.
Bagaimanapun, dari sisi rejim haram Israel pula menetapkan, tentera zionis berkenaan akan kekal berada di kedudukan mereka dan dalam tempoh 60 hari mereka akan mula berundur.
Pada masa yang sama, siri gencatan senjata ini tidak menghalang Hizbullah daripada mengisytiharkan ‘kemenangan ke atas Israel.
“Kemenangan daripada Allah maha kuasa adalah sekutu bagi tujuan benar,” kata Hizbullah dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Di Lubnan, lebih 900,000 orang terpaksa meninggalkan kediaman masing masing sejak beberapa minggu kebelakangan ini, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketika Israel menyerang negara itu dengan meletakkan sasaran utama serangan ke atas kubu kuat Hizbullah.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI