NEW YORK, 5 MUHARRAM — Calon Datuk Bandar, Zohran Mamdani mempunyai rancangan besar untuk bandar raya New York. Beliau mahu menubuhkan pasar raya milik bandar, membina lebih banyak rumah, menjadikan perkhidmatan bas percuma dan membekukan kadar sewa untuk penyewa bersubsidi.
Namun menjelang pemilihan utama Parti Demokrat pada Selasa, lawan-lawannya dan media lebih memberi tumpuan kepada pendiriannya terhadap konflik Israel-Palestin.
Mamdani adalah pembela hak rakyat Palestin yang mengecam kekejaman Israel dan mengulangi penilaian kumpulan hak asasi bahawa serangan Israel ke atas Gaza adalah satu genosid.
Mamdani tidak berganjak daripada pendiriannya, dan beliau menang, mengatasi bekas Gabenor New York, Andrew Cuomo yang mendapat sokongan institusi lebih besar dan disokong perbelanjaan kempen tertinggi dalam sejarah.
Penyokong Mamdani menyifatkan kemenangannya sebagai titik perubahan dalam politik Amerika Syarikat yang membuktikan dasar kiri dan sokongan terhadap hak Palestin mampu diterima dalam pilihan raya.
“Ia sangat bersejarah,” kata Usamah Andrabi, jurucakap kumpulan progresif Justice Democrats.
“Tiada had untuk progresif sejati yang bersedia menyatukan kelas pekerja menentang golongan bilionair dan PAC korporat sambil tetap berpegang pada isu sebesar genosid.”
Walaupun keputusan rasmi belum dimuktamadkan, Mamdani mendahului Cuomo dengan lebih tujuh mata peratusan dengan hampir semua undi dikira, sekali gus hampir pasti meraih pencalonan.
Kelebihannya dijangka bertambah dengan pusingan kiraan seterusnya dalam sistem undi pilihan bertaraf bandar itu.
Cuomo sudah mengaku kalah dan Mamdani mengisytiharkan kemenangan, membuka laluan untuk beliau menjadi Datuk Bandar bandar terbesar di AS.
New York adalah kubu kuat Demokrat, jadi sebagai calon parti itu, beliau dijangka menang mudah dalam pilihan raya umum November, satu keputusan yang kelihatan mustahil ketika beliau hanya mencatat sokongan 1 peratus pada Februari lalu.
‘Beliau enggan berundur’
Bijak menggunakan media digital, berkarisma dan mudah didekati, Mamdani seorang penggubal undang-undang negeri berusia 33 tahun, mula membina penyokong dengan video tular dan kempen akar umbi di jalan-jalan New York.
Selepas pilihan raya presiden November lalu, Mamdani mendekati penyokong Donald Trump dan golongan yang tidak mengundi, yang meluahkan rasa kecewa terhadap politik sedia ada. Beliau kemudian memperkenalkan platformnya sendiri. Dalam satu segmen video yang dirakamnya, ada antara mereka menyatakan kesediaan menyokong beliau untuk Datuk Bandar.
Penyokongnya berkata, Mamdani juga berjaya menggerakkan ribuan sukarelawan untuk berkempen dari rumah ke rumah.
Profesor sosiologi di City University of New York (CUNY), Heba Gowayed berkata, ramai anak muda tertarik kepada Mamdani kerana pendiriannya menentang dasar Israel.
“Fakta bahawa beliau enggan berundur daripada pendiriannya terhadap Palestin adalah sesuatu yang besar,” kata Gowayed.
“Dalam suasana kita diberitahu bahawa pendirian itu akan membunuh kerjaya politik, ini adalah satu gerakan yang bukan sahaja mempertahankan pendirian itu, malah dibina berasaskan padanya.”
Katanya, jika Mamdani mengalah untuk menyenangkan pengkritik, beliau pasti kehilangan sokongan dan semangat yang membantunya menang. Sokongan Mamdani terhadap Palestin “mungkin mengukuhkan kempennya”, katanya.
Mamdani berdepan cabaran besar untuk meraih pencalonan Demokrat. Beliau bukan sahaja kekurangan dana pada awalnya, malah pengenalan namanya juga sangat rendah. Hanya sedikit pengundi yang mengenalinya berbanding Cuomo, bekas gabenor daripada dinasti politik terkenal di New York.
Bapa Cuomo juga pernah menjadi gabenor, dan menjelang hari pemilihan Selasa lalu, Cuomo meraih sokongan tokoh utama Demokrat termasuk bekas Presiden Bill Clinton dan anggota kongres, Jim Clyburn. Mamdani pula disokong oleh cabang tempatan Democratic Socialists of America (DSA).
Itulah yang menjadikan kemenangan Mamdani sangat mengagumkan bagi penyokongnya, ibarat perlawanan David menentang Goliath, pertembungan antara kelompok lama dan generasi baharu.
“Orang lama ditewaskan oleh seorang demokrat sosial, anak muda Muslim berkulit coklat yang pro-Palestin, dengan hanya 1 peratus pengenalan nama pada Februari,” kata Gowayed. “Ini memang luar biasa dan menakjubkan.”
Lahir di Uganda dalam keluarga keturunan India, Mamdani berkhidmat sebagai wakil rakyat negeri sejak 2021.
Ramai melihat persaingan antara Cuomo dan Mamdani sebagai cerminan persaingan lama antara progresif dan moderat dalam Parti Demokrat. Perdebatan mengenai hak Palestin dan sokongan tanpa syarat AS terhadap Israel menjadi isu teras dalam pertembungan ini.
Tumpuan Cuomo terhadap Israel
Sebagai penggubal undang-undang negeri, Mamdani lantang menentang kempen ketenteraan Israel di Gaza yang membunuh sekurang-kurangnya 56,077 rakyat Palestin. Malah, beliau pernah mengetuai mogok lapar di luar Rumah Putih pada November 2023 untuk menuntut perang dihentikan.
Namun ketika memulakan kempen Datuk Bandar, tumpuannya adalah isu tempatan.
Namun Cuomo yang meletak jawatan sebagai gabenor pada 2021 susulan dakwaan gangguan seksual, cuba menjadikan pendirian Mamdani mengenai Israel-Palestin sebagai isu utama kempen.
Awal bulan ini, Cuomo membayangkan bahawa mengkritik Israel menyumbang kepada serangan terhadap rakyat Yahudi Amerika. Sasarannya jelas: Mamdani.
“Kebencian menyalakan kebencian. Retorik anti-Israel seperti ‘genosid,’ ‘penjenayah perang,’ dan ‘pembunuh’ mesti dihentikan. Ia merebak seperti barah dalam politik kita,” kata Cuomo di media sosial selepas serangan kebakaran mencederakan 15 orang di satu perhimpunan pro-Israel di Colorado.
Bekas gabenor itu juga merupakan sebahagian pasukan pembela Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang diburu Mahkamah Jenayah Antarabangsa atas tuduhan jenayah perang di Gaza, termasuk menggunakan kelaparan sebagai senjata perang.
Apabila Mamdani dan calon lain, termasuk Ketua Pegawai Kewangan New York, Brad Lander, berkempen bersama menentang Cuomo, Cuomo terus membangkitkan isu Israel.
“Bagaimana … seorang Brad Lander menyokong Zohran Mamdani, menyokong pendiriannya terhadap Israel, menyokong kenyataannya mengenai Israel?” kata Cuomo.
Lander yang berketurunan Yahudi, tetap memberi sokongan silang kepada Mamdani, dan mereka menyeru penyokong masing-masing meletakkan mereka di kedudukan teratas dalam undi pilihan.
Kumpulan pro-Cuomo yang dikenali sebagai Super PAC turut menumpukan serangan terhadap pendirian Mamdani mengenai konflik Israel-Palestin.
Dinamakan Fix the City, Super PAC menerima AS$500,000 daripada bilionair pro-Israel dan penyokong Trump, Bill Ackman. Bekas Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg, penyokong kuat Israel, menyumbang AS$8 juta kepada kumpulan itu.
Media juga meneliti pandangan Mamdani terhadap Israel. Beliau kerap ditanya mengenai dasar luar, termasuk sama ada Israel berhak wujud sebagai negara Yahudi dan sama ada beliau akan melawat Israel sebagai Datuk Bandar.
‘Titik perubahan’
Pengarah politik kumpulan advokasi Jewish Voice for Peace (JVP) Action, Beth Miller berkata Cuomo silap percaturan dengan menjadikan pendirian Mamdani terhadap konflik Timur Tengah sebagai isu utama.
Penyokong Demokrat kini semakin menjauhi sokongan tanpa syarat kepada Israel, khususnya selepas kekejaman di Gaza. Kajian Pew Research Center pada April menunjukkan 69 peratus responden Demokrat memandang Israel secara negatif.
“Cuomo adalah sebahagian daripada pemikiran politik lapuk,” kata Miller.
JVP Action menyokong Mamdani sejak awal kempennya. Miller berkata, walaupun kempen Mamdani berteraskan usaha menjadikan New York mampu didiami, politik progresifnya dibina atas asas mempertahankan kemanusiaan semua, termasuk rakyat Palestin.
“Cuomo menyangka sokongan Zohran terhadap hak Palestin akan menjadi liabiliti, tetapi apa yang berlaku membuktikan sebaliknya,” kata Miller.
“Malah, apa yang saya saksikan ialah sokongan beliau terhadap hak Palestin menjadi aset dalam kempennya. Ia menggerakkan pengundi muda, ramai pengundi progresif Yahudi, pengundi Muslim dan ramai lagi.”
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kumpulan pro-Israel termasuk AIPAC telah membelanjakan dana besar dalam pemilihan utama Demokrat untuk menewaskan calon progresif.
Dalam pilihan raya lepas, mereka berjaya menyingkirkan dua anggota Kongres Demokrat yang kritikal terhadap Israel: Jamaal Bowman dan Cori Bush.
Aktivis progresif berharap kemenangan Mamdani akan mengubah arus.
“Kita akhirnya menyaksikan satu titik perubahan,” kata Andrabi dari Justice Democrats.
“AIPAC sering mendakwa menyokong Israel adalah dasar dan politik yang baik. Saya rasa kini sudah sangat jelas bahawa menyokong Israel yang mengamalkan apartheid adalah dasar buruk dan politik buruk.” – Al JAZEERA
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi