Selepas anak diserang, isteri terima ugutan – Rafizi

BANGI, 20  SAFAR – Selepas anak lelakinya yang berusia 12 tahun diserang semalam, Datuk Seri Rafizi Ramli, mendedahkan isterinya pula menerima mesej berbaur ugutan,iaitu ‘diam, jika teruskan, AIDS.’ 

Bekas Menteri Ekonomi berkata, mesej itu diterima kira-kira jam 1.45 tengah hari yang turut disertakan emoji picagari.

“Pagi ini pun saya terima mesej sama, ‘diam, andai teruskan AIDS’, kemudian emoji picagari dari nombor telefon yang sama, ” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan, melihat ada tiga kemungkinan mengenai cecair yang disuntik dalam serangan terhadap anak lelakinya.

“Pertama yang disuntik itu sama ada dadah atau racun. Kedua yang disuntik itu berbentuk viral, sama ada hepatitis, HIV dan lain-lain.

“Ketiga, ia hanya kosong seperti air. Jadi sebab itu anak saya perlu lalui proses (mengenal pasti bahan cecair disuntik) dalam masa beberapa bulan ini.

“Bagi tempoh 24 jam pertama ini, keutamaan selain ujian darah adalah kita buat ujian kenal pasti sama ada ia dadah atau racun,” katanya.

Menurutnya, keadaan anaknya ketika ini adalah baik, sudah discaj dari hospital, malah pergi ke sekolah seperti biasa hari ini.

Bagaimanapun, Rafizi yang turut kelihatan sebak, berkata anak lelakinya akan melalui beberapa ujian lagi sepanjang enam bulan ini, termasuk pemeriksaan penuh kesihatan.

Mengenai rawatan dan diagnosis, Rafizi berkata, keputusannya belum diperoleh dan akan dimaklumkan kemudian oleh pihak hospital.

Rafizi percaya kejadian serangan terhadap anak lelakinya di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, semalam, mempunyai kaitan dengan cubaan menutup mulutnya berkaitan satu skandal.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan secara terperinci mengenai ‘skandal’ itu dan memberitahu, maklumat itu diterima hasil perjumpaannya dengan sekumpulan pemberi maklumat, Rabu minggu lalu.

“Pada hemat saya, ini bersabit cubaan untuk menutup mulut saya. Ada sesuatu saya sedang teliti dan ini (serangan) adalah mesej untuk saya.

“Memang ada satu kumpulan ‘whistleblower’ datang pada saya Rabu minggu lepas, mengenai satu skandal berkaitan wang.

“Maksudnya saya ingat pihak terbabit tahu kalau saya sudah mula lihat satu skandal, saya akan ‘go deep’ (siasat lebih mendalam)… pada saya, mereka nak saya ‘move on’ dan tidak meneruskannya,” katanya.

Tambahnya, semua perkara bersabit ugutan diterimanya sudah dikemukakan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

“Saya ingat perkara ini akan berterusan kerana pada hemat saya, ia ialah strateginya, oleh kerana saya selalunya tak makan saman.

“Saya dah lalui saman, lokap, hilang jawatan pun, tapi saya tak pernah ambil ‘port’.

“Jadi saya ingat mereka yang terbabit ini rasakan mungkin lebih mudah mempengaruhi keputusan saya melalui isteri.

“Saya hanya ada seorang anak, jadi kalau letak tekanan tu pada isteri dan anak, (mungkin mereka percaya) boleh (pengaruhi keputusan). Saya dah sampaikan semua maklumat ini kepada pihak polis dan nombor telefon (pihak hantar ugutan) dan berharap siasatan akan berjalan lancar,” katanya.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Hukuman penjara 12 tahun Siti Bainun kekal, rayuan akhir ditolak

Next Post

Anwar sedia mohon maaf kepada Muhyiddin jika terbukti sumber tidak sahih

Related Posts