Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 11 RAMADAN — Astro Radio memutuskan tiga penyampai Radio ERA terus direhatkan walau hukuman denda sudah diputuskan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Ketua Strateginya, Rizal Sahimy berkata keputusan itu dibuat bagi membolehkan siasatan dalaman diteruskan dan meredakan keadaan, lapor Utusan Malaysia.
“Meskipun perkara ini sudah diselesaikan, siasatan dalaman tetap kami teruskan. Selepas siasatan lengkap nanti barulah kami muktamadkan status penyampai berkenaan.
“Buat masa ini, ketiga-tiga mereka masih direhatkan. Isu ini masih panas dan masih memberi tekanan. Kami mahu proses penyelesaian berjalan lancar.
“Jadi kami tenang-tenangkan mereka dahulu. Sebarang keputusan akan kami umumkan nanti,” katanya ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa Zayan dan Era FM semalam.
SKMM semalam memutuskan Radio ERA didenda RM250,000 kerana memuatkan kandungan jelik melampau di TikTok.
Kompaun yang mendapat kebenaran Jabatan Peguam Negara itu berpandukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Pindaan 2024).
Rizal berkata Astro Radio sentiasa berhubung rapat dengan tiga penyampai berkenaan bagi mengelak berlaku kecelaruan emosi.
“Kami sentiasa berhubung. Buat masa ini, mereka okey dari sudut luaran. Tetapi, saya bukan pakar psikiatri untuk nilai dalaman mereka.
“Setakat ini mereka boleh berborak macam biasa. Tetapi saya pasti minda mereka terganggu susulan kejadian ini.
“Perkongsian hati ke hati memang berlaku antara kami kerana hubungan kami rapat. Tetapi perkara itu bersifat peribadi dan dikongsikan dalam kalangan kami sahaja,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Rizal memaklumkan Nabil Ahmad turut direhatkan daripada siaran televisyen terbitan Astro.
Katanya, tempoh pengecualian itu bergantung kepada budi bicara pihak televisyen Astro dalam menilai isu yang berlaku.
“Di bahagian radio, dia memang direhatkan buat masa ini. Untuk TV, saya tidak pasti tempoh dia direhatkan, sama ada sekejap atau pun lebih lama. Itu di bawah keputusan bahagian TV.
“Tetapi tiada kekangan untuk dia buat tugasan luar. Pihak kami tidak halang dari segi itu,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi