Oleh Azzman Jamal
BANGI, Rabu – Kerajaan berhasrat untuk membentangkan cadangan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) termasuk pindaan Seksyen 233 akta itu di Parlimen dalam persidangan kali ini, kata Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Beliau berkata, ia bagaimanapun tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri.
“Maklum balas daripada sesi libat urus telah diambil kira dalam memuktamadkan cadangan pindaan kepada Akta 588 yang mana penelitian dan kajian terperinci sedang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan Kementerian Komunikasi.
“Ia bagi memastikan skop dan penggunaannya adalah lebih jelas dan tidak disalahgunakan dan bagi memastikan penguatkuasaannya dapat menangani kemudaratan,” katanya ketika sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii Lee Wuen yang meminta kerajaan menyatakan pelan kementerian untuk mengkahi dan memperkemaskan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk memastikan skop dan penggunannya tidak memberi ruang untuk disalahgunakan.
Mengulas lanjut, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, Kementerian Komunikasi dan MCMC juga telah mengadakan beberapa mesyuarat penyelarasan dengan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri bagi memastikan tiada pertindihan Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian dan peruntukan bawah Akta 588 termasuk dalam konteks penggunaan Seksyen 233.
Terdahulu, beliau berkata, peruntukan Seksyen 233 hanya akan dikuatkuasakan sekiranya terdapat kandungan dalam talian yang dikenalpasti bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu orang lain.
“Tindakan penguatkuasaan MCMC adalah berdasarkan pemantauan proaktif serta aduan yang diterima daripada orang awam dan juga permohonan daripada agensi penguatkuasaan lain.
“MCMC akan menjalankan siasatan secara telus terhadap kandungan yang diadukan dan hasil siasatannya kemudiannya diserahkan kepada AGC bagi tindakan pendakwaan,” ujarnya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI