BANGI, 17 SAFAR – Ketua PKR Cabang Ampang, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad berkata, masih terlalu awal untuk menentukan calon Parlimen Ampang dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.
Beliau yang juga dikenali sebagai Altimet berkata, pemilihan calon PKR tidak terikat kepada lokasi pemastautin atau jawatan dalam parti serta mengalu-alukan penyertaan pelbagai latar belakang demi membina Malaysia yang adil dan progresif.
Namun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya itu berkata, cabang itu menyerahkan keputusan menentukan calon Ahli Parlimen Ampang kepada pucuk pimpinan tertinggi parti.
Ini berikutan nama bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz disebut-sebut bakal mengisi pencalonan kerusi itu nanti.
Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri sebelum ini mengesahkan sudah diterima menjadi ahli PKR Cabang Ampang, selepas mengambil keputusan meninggalkan UMNO pada Mei lalu.
“Kami menghormati proses pemilihan calon yang telus, adil dan mengambil kira pandangan semua peringkat.
“Fokus Cabang Ampang adalah memperkukuh gerak kerja di akar umbi, membela kebajikan rakyat serta memastikan agenda reformasi yang dibawa Perdana Menteri dan kepimpinan parti dapat direalisasikan dengan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.
Syed Ahmad berkata, cabang berkenaan sentiasa berpegang pada prinsip keterbukaan dan perpaduan dalam memperjuangkan agenda reformasi demi rakyat.
Sehubungan itu, katanya mana-mana individu, tanpa mengira latar belakang dialu-alukan untuk bersama menyertai PKR dalam usaha membina Malaysia yang lebih adil, makmur dan progresif.
“Cabang Ampang percaya kekuatan parti terletak pada kepelbagaian idea, tenaga dan komitmen ahli-ahli yang bernaung dibawah kepimpinan berteraskan prinsip,” katanya.
Berikutan penerimaan Tengku Zafrul sebagai ahli PKR Ampang, beberapa pihak membuat spekulasi bahawa beliau bakal dinamakan sebagai calon di parlimen itu pada PRU16.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi