RABU, 24 NOVEMBER – Mahkamah Rayuan menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menangguhkan keputusan berhubung sabitan dan hukuman atas tuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Sehubungan itu, Mahkamah Rayuan mengekalkan tarikh 8 Disember bagi keputusan dalam kes berkenaan.
Dalam surat kepada peguam bekas perdana menteri dari Shafee & Co, Mahkamah Rayuan memaklumkan bahawa permohonan mereka untuk menangguhkan tarikh penghakiman adalah tidak dibenarkan.
Justeru, semua pihak perlu hadir di Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada tarikh yang ditetapkan.
Peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee turut mengesahkan pihak pembelaan baru menerima surat itu hari ini.
Semalam, Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Disember untuk keputusan rayuan Najib untuk membatalkan keputusan bersalahnya serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Bagaimanapun, pasukan peguambela Najib memohon tarikh keputusan itu ditangguhkan ke tarikh antara 13 hingga 17 Disember dengan alasan bekas perdana menteri itu masih berada dalam kuarantin rumah sekembalinya dari perjalanan ke Singapura.