‘Beritahu kami bagaimana dia meninggal’: Salah kritik penghormatan UEFA kepada ‘Pele Palestin’

NEW YORK, 17 SAFAR – Penyerang Liverpool, Mohamed Salah, mengkritik cara UEFA menghormati Suleiman Al-Obeid, yang dikenali sebagai “Pele Palestin”, selepas badan induk bola sepak Eropah itu gagal menyatakan keadaan sebenar di sebalik kematiannya.

Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA) berkata, Al-Obeid, 41, terbunuh akibat serangan Israel yang menyasarkan orang awam yang sedang menunggu bantuan kemanusiaan di selatan Semenanjung Gaza pada Rabu minggu lalu.

Dalam hantaran ringkas di platform media sosial X, UEFA menyifatkan bekas pemain pasukan kebangsaan itu sebagai “bakat yang memberi harapan kepada ramai kanak-kanak, walaupun pada waktu paling sukar.”

Salah membalas: “Boleh anda beritahu kami bagaimana dia meninggal, di mana, dan mengapa?”

UEFA tidak segera memberikan komen.

Sebagai antara bintang besar Liga Perdana Inggeris, Salah, 33, sebelum ini pernah meminta agar bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk ke Gaza sepanjang perang yang hampir mencecah dua tahun itu.

PFA kemudian memuat naik kenyataan di laman Facebook yang dikaitkan dengan Presiden UEFA, Aleksander Ceferin, menyifatkan Al-Obeid sebagai “bukti kegembiraan yang boleh mekar di hati manusia walaupun dalam kesusahan.

“Beliau menyalurkan bakat dan dedikasinya kepada anak-anak Gaza, memberi harapan agar impian mereka dapat berkembang meskipun dalam penderitaan,” kata kenyataan itu.

“Kematian beliau merupakan kehilangan besar kepada dunia bola sepak dan kepada semua yang mengiktiraf kuasa sukan dalam menyatukan manusia.”

PFA pada Sabtu lalu, turut memaklumkan bahawa 325 pemain, jurulatih, pentadbir, pengadil dan ahli lembaga kelab dalam komuniti bola sepak Palestin, terbunuh sejak konflik Israel-Hamas tercetus pada Oktober 2023.

Kempen udara dan darat Israel memusnahkan keseluruhan kawasan kejiranan di Gaza, memaksa majoriti 2.3 juta penduduk berpindah dan mendorong wilayah itu ke ambang kebuluran.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 1,000 orang terbunuh berhampiran lokasi pengagihan bantuan dan konvoi bantuan di Gaza sejak pelancaran Gaza Humanitarian Foundation, iaitu sistem pengagihan bantuan yang disokong Amerika Syarikat dan Israel, pada akhir Mei. – REUTERS

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Jenazah Zara Qairina selamat dikebumikan semula 

Next Post

Tengku Zafrul jadi calon PKR di Ampang? Biar pucuk pimpinan tentukan – Altimet

Related Posts