Rumah Putih tetapkan kadar tarif Malaysia 19 peratus

WASHINGTON, 7 SAFAR – Rumah Putih memaklumkan bahawa eksport Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) akan dikenakan tarif sebanyak 19 peratus.

Langkah ini menyusuli amaran Washington sebelum ini yang mempertimbangkan untuk mengenakan duti setinggi 25 peratus terhadap import dari Malaysia.

Negara jiran di Asia Tenggara turut dikenakan kadar berbeza, dengan Thailand dan Filipina sama seperti Malaysia sebanyak 19 peratus, manakala Vietnam dikenakan duti sebanyak 20 peratus.

Menurut laman web rasmi Rumah Putih, semalam, Indonesia dan Kemboja turut menerima kadar 19 peratus, manakala Laos menghadapi tarif lebih tinggi iaitu 40 peratus. Taiwan pula dikenakan tarif yang diselaraskan sebanyak 20 peratus.

Kuasa ekonomi besar seperti China dan Kesatuan Eropah (EU) pula diberi layanan berbeza dengan kadar tarif China masih dalam rundingan berasingan, manakala barangan EU yang dikenakan tarif bawah 15 peratus akan diselaraskan untuk mencapai ambang tersebut. AS mengecualikan sesetengah barangan EU yang telah dikenakan tarif melebihi 15 peratus, manakala selebihnya dinaikkan ke kadar minimum.

Presiden Donald Trump dalam kenyataannya menyifatkan ketidakseimbangan perdagangan sebagai ancaman kepada keselamatan negara dan menggunakan kuasa presiden di bawah Akta Perdagangan 1974 serta kuasa ekonomi kecemasan bagi menguatkuasakan tarif tersebut.

Beliau berkata, Perintah Eksekutif 14257 yang dikeluarkan pada April lalu membolehkan penyesuaian kadar tarif dilakukan pada masa depan, dengan Wakil Perdagangan AS memantau pematuhan dan risiko tindakan balas.

Trump menegaskan langkah ini bersifat sementara dan boleh berubah bergantung kepada kerjasama negara asing dalam menangani defisit perdagangan.

Sementara itu, beliau menjelaskan bahawa tarif berkuat kuasa tujuh hari selepas 12.01 pagi, 1 Ogos, namun barangan yang sudah dalam perjalanan diberi tempoh tangguh tujuh hari bagi mengurangkan kesan segera terhadap rantaian bekalan.

Peraturan ketat terhadap penyaluran semula barangan (transhipment) yang bertujuan mengelak tarif akan dikenakan penalti sebanyak 40 peratus, selain senarai hitam terhadap pihak yang melanggar peraturan, tambahnya.

Trump juga menyatakan bahawa negara-negara yang sedang merundingkan perjanjian perdagangan dengan AS mungkin akan menerima kadar sementara, sementara kadar muktamad ditentukan selepas perjanjian dimeterai.

India dikenakan tarif 25 peratus, Brazil dan United Kingdom masing-masing 10 peratus, mencerminkan penilaian berbeza AS terhadap timbal balas perdagangan.

Jepun, Korea Selatan dan Israel pula dikenakan tarif rata sebanyak 15 peratus, manakala tarif lebih tinggi dikenakan ke atas negara seperti Syria (41 peratus) dan Myanmar (40 peratus) atas alasan ketegangan geopolitik.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

RMK13: Kerajaan pertimbang bayaran pencen bulanan melalui KWSP

Next Post

Carney sokong Palestin, Trump ancam perang dagang dengan Kanada

Related Posts