BANGI, 17 RABIULAWAL – Hari ini, cabaran terhadap kedudukan bahasa Melayu semakin nyata.
Walaupun termaktub dalam Perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan, realitinya bahasa ini masih belum benar-benar menjadi bahasa ilmu, bahasa ekonomi atau bahasa perpaduan yang kukuh.
Ini kerana terdapat persepsi bahawa bahasa Inggeris dilihat sebagai bahasa yang lebih agung berbanding bahasa Melayu kerana statusnya sebagai bahasa antarabangsa yang menjadi medium komunikasi dalam perdagangan dan ekonomi global.
Justeru, situasi ini menyebabkan bahasa Melayu dianggap sekadar ‘bahasa domestik’ yang didakwa tidak mempunyai nilai, sekali gus mendorong masyarakat lebih tertumpu untuk menguasai bahasa asing berbanding bahasa yang melambangkan identiti dan jati diri negara.
Perjuangkan bahasa Melayu habis-habisan
Namun begitu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong menegaskan bahawa kedudukan bahasa Melayu perlu diangkat lebih tinggi berbanding bahasa asing meskipun status bahasa tersebut adalah bertaraf antarabangsa.
Terdahulu, beliau menjelaskan, kehebatan sesebuah bahasa tersebut terletak pada kehebatan ekonomi, masyarakat atau negara yang menuturnya.
Oleh itu, kekuatan bahasa Inggeris diangkat begitu tinggi dari dahulu hingga sekarang adalah kerana kehebatan United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) sehingga negara terbabit menguasai ekonomi dunia.
“Itulah teorinya. Katakanlah tidak lama lagi, China mengambil alih peranan ekonomi utama dunia, sudah tentu bahasa Mandarin akan menjadi penting dan akan dipelajari mereka daripada segenap pelusuk di dunia,” katanya kepada TV Pertiwi.
Atas dasar ini, Kok Seong menegaskan, setiap rakyat Malaysia wajib mempertahankan kedudukan bahasa Melayu habis-habisan kerana ia melambangkan jati diri negara ini.
Beliau akui, walaupun penguasaan bahasa asing seperti bahasa Inggeris dan Mandarin boleh menawarkan pelbagai manfaat, namun bahasa Malaysia perlu menjadi keutamaan bagi mereka yang menggelar diri sebagai warga Malaysia.
“Ia adalah identiti nasional untuk negara Malaysia dan bahasa Melayu juga adalah identiti budaya bagi rakyat kita.
“Atas dasar itu, kita pertahankan jati diri kita sebagai sebuah negara Melayu Islam. Kita bangsa Malaysia sebagai bangsa yang hidup di bumi Melayu Islam, jadi jati diri itu adalah kata kuncinya,” ujar beliau.
Contohi Indonesia dalam mengangkat bahasa kebangsaan
Mengulas lanjut, Kok Seong berkata, isu penguasaan bahasa kebangsaan di Malaysia terus menjadi pertikaian apabila ia tidak diangkat selari dengan perkembangan ekonomi negara yang semakin mengukuh.
Ujar beliau, banyak perkara yang dilakukan dalam bidang ekonomi lebih dikaitkan kepada penggunaan bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu.
“Kita sendiri tidak mempromosikan bahasa Melayu.
“Kita ada nafsu yang besar nak jadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN tetapi kita sendiri tahu dalam negara ini pun banyak isu tentang bahasa Melayu yang masih tidak dapat dirungkaikan.
“Penduduk kita dari kalangan orang bukan Melayu masih ramai tak boleh berbahasa Melayu. Bukan sedikit yang langsung tak boleh (bertutur) bahasa Melayu.
“Kita juga dapat lihat banyak perkara dalam negara seperti pemaparan papan iklan yang tidak mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa negara,” katanya lagi.
Dalam memperbaiki situasi ini, Kok Seong turut mencadangkan Malaysia mencontohi pendekatan yang digunakan Indonesia dan yang mana rakyat negara jiran itu dilihat lebih menghayati dan menjunjung bahasa kebangsaan mereka.
Beliau berkata, meskipun ekonomi Indonesia tidak begitu gah di peringkat antarabangsa, rakyat negara itu tetap bangga dan taat dengan bahasa mereka sekali gus mencerminkan penyatuan yang lebih kukuh dalam kalangan masyarakat negara itu.
“Dalam hal ini, pembentukan negara bangsa mereka (Indonesia) berjaya. Setiap rakyat Indonesia fasih berbahasa Indonesia.
“Tak cukup dengan itu, setiap rakyat Indonesia bangga dengan bahasa Indonesia, sayang dan taat dengan bahasa mereka.
“Bayangkan kalau mereka kuat dari segi ekonomi, dunia akan dapat melihat bahasa mereka. Semasa mereka dalam keadaan ekonomi lemah pun mereka pertahan bahasa Indonesia itu habis-habisan,” tambah beliau.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi