Oleh Wartawan TV Pertiwi
PAS hari ini “memuji” Lim Guan Eng selepas berjaya memutuskan kes siasatan Naib Pengerusi DAP Teresa Kok tidak tertakluk di bawah agama, kaum dan raja (3R).
Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata “kehebatan” Pengerusi DAP itu mengalahkan kredibiliti hakim yang bersidang di mahkamah.
“Guan Eng sudah sebut dengan jelas, ini bukan isu 3R dan Kok tidak bersalah. Rupa-rupanya selain hakim, Guan Eng ada autoriti untuk menentukan status kes.
“Ini benar-benar hebat. Benarlah kata Presiden AMANAH Mohamad Sabu, kes ini akan berlalu sebagaimana berlalunya hari-hari.
“Justeru, Pemuda AMANAH yang desak Kok tarik balik kenyataan sudah boleh diam. Pemuda UMNO yang mahu tampal logo tidak halal pun bolehlah senyap,” katanya.
Ahmad Fadhli mengulas kenyataan Guan Eng selepas Kok memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis di Kuala Lumpur hari ini.
Guan Eng mendakwa kenyataan Kok sebelum ini tidak tertakluk di bawah 3R kerana menjalankan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat.
Kok hari ini disiasat di bawah Seksyen 298 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA di TV PERTIWI
#jiwamerdeka67 #sijilhalal #JAKIM