BANGI, 6 SAFAR – Kerajaan sedang mempertimbang untuk memperkenalkan bayaran pencen bulanan melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Ini adalah sebagai tambahan kepada pilihan pengeluaran sekali gus sedia ada, bagi menyediakan aliran pendapatan yang lebih stabil kepada pesara.
Menurut laporan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), simpanan persaraan yang mencukupi adalah penting untuk menjamin kesejahteraan pekerja pada usia tua.
Sehubungan itu, satu mekanisme yang lebih berkesan akan diterokai bagi memastikan sumber pendapatan berterusan selepas bersara.
“Mekanisme ini akan membolehkan pemisahan caruman KWSP kepada dua komponen, iaitu simpanan persaraan dan pencen persaraan.
“Menerusi usaha ini, pekerja boleh mengeluarkan sebahagian daripada simpanan mereka sambil turut menerima pencen bulanan apabila mencapai umur persaraan,” menurut laporan tersebut.
Ketika ini, semua simpanan ahli KWSP yang dikumpulkan sebelum usia 55 tahun boleh dikeluarkan sepenuhnya apabila mencapai umur itu.
Akaun KWSP dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu Akaun Persaraan (Akaun 1), Akaun Sejahtera (Akaun 2) dan Akaun Fleksibel (Akaun 3).
Akaun 1 hanya boleh diakses selepas bersara yang bertujuan untuk mengumpul dan meningkatkan simpanan jangka panjang ahli bagi memastikan kehidupan yang selesa selepas bersara.
Simpanan dalam Akaun 2 pula boleh dikeluarkan bagi tujuan tertentu sebelum bersara, termasuk untuk perumahan, pendidikan, kesihatan, perlindungan insurans/takaful, dan ibadah haji.
Dana dalam Akaun 3 yang diperkenalkan tahun lalu, boleh dikeluarkan pada bila-bila masa tertakluk kepada syarat yang lebih longgar. Ia bertujuan memenuhi keperluan kewangan jangka pendek ahli.
KWSP yang merupakan dana simpanan persaraan untuk pekerja sektor swasta, menawarkan pulangan dividen yang lebih tinggi berbanding institusi pelaburan berkaitan kerajaan (GLC) dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, dengan kadar agihan 6.3 peratus bagi tahun 2024 untuk akaun konvensional dan syariah.
Antara dana berkaitan kerajaan lain termasuk Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang menguruskan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN), serta Lembaga Tabung Haji.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi