BANGI, 7 SAFAR – Lapan lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kematian seorang suspek kes cubaan ragut di Batu 9 Cheras, dibebaskan dengan jaminan polis selepas kertas siasatan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata mereka yang berusia antara 22 hingga 72 tahun dibebaskan sementara menunggu laporan penuh bedah siasat dan analisis Jabatan Kimia bagi mengesahkan punca kematian suspek.
“Semua tangkapan masih di bawah tahanan reman hingga esok. Namun, siasatan kes telah dilengkapkan dan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada 31 Julai yang mengarahkan supaya semua tangkapan dibebaskan sementara dengan jaminan polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam kejadian pada 22 Julai lalu, Naazron berkata polis menerima maklumat awam melalui panggilan kecemasan jam 11.10 pagi berhubung insiden seorang lelaki cuba meragut seorang wanita berusia 36 tahun yang bekerja sebagai guru tadika.
Suspek ditahan orang awam dan dipukul sehingga disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Bedah siasat telah dijalankan pada hari yang sama dan pihaknya masih menunggu laporan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan atau mengenali mangsa boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Ong Eng Yew melalui talian 012-6966849 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi