PHNOM PENH, 7 SAFAR – Lokasi Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) Kemboja-Thailand bagi meneruskan rundingan damai untuk menyelesaikan konflik sempadan antara kedua-dua negara diubah dari Kemboja ke Malaysia.
Ketika mesyuarat khas di Putrajaya pada 28 Julai lalu, kedua-dua negara bersetuju mengadakan mesyuarat GBC sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata berkenaan.
Mengikut persetujuan asal, mesyuarat itu dijadualkan berlangsung di Phnom Penh pada 4 Ogos ini.
Bagaimanapun semalam, Thailand mengemukakan cadangan agar mesyuarat diadakan di Malaysia sebagai lokasi berkecuali dan tempoh mesyuarat dipanjangkan daripada hanya satu hari perbincangan.
Agensi berita negara Kemboja, Agence Kampuchea Presse melaporkan, kerajaan negara itu bersetuju dengan permintaan Thailand.
“Kemboja bersetuju dengan cadangan Thailand untuk mengadakan mesyuarat GBC di Malaysia dan mencadangkan agar wakil daripada tiga negara, iaitu Malaysia, Amerika Syarikat dan China (turut hadir sebagai pemerhati),” kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Negara, Jeneral Tea Seiha.
Beliau turut bersetuju dengan tarikh baharu yang dicadangkan, iaitu mulai 4 hingga 7 Ogos bagi membincangkan pertikaian sempadan yang mencetuskan ketegangan dan insiden pertempuran bersenjata pada 24 Julai lalu.
Pertempuran dihentikan pada tengah malam 28 Julai lalu apabila Kemboja dan Thailand bersetuju untuk mengadakan rundingan gencatan senjata atas permintaan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN.
Sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum ditandai secara rasmi itu telah lama menjadi isu sensitif antara kedua-dua negara, yang beberapa kali mencetuskan ketegangan dan menjejaskan hubungan diplomatik.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi