BANGI, 25 MUHARRAM – Ketua Setiausaha Negara mengingatkan penjawat awam supaya tidak menyertai Himpunan Turun Anwar anjuran pembangkang yang dijadualkan pada Sabtu, 26 Julai ini.
Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menegaskan bahawa penjawat awam perlu mematuhi ikrar yang termaktub dalam Rukun Negara.
“Mana boleh turun, penjawat awam setiap hari, setiap minggu baca ikrar (Rukun Negara).”
“Rukun Negara (antara prinsip), kesetiaan kepada raja dan negara… lupa ke? Taat setialah kepada raja dan negara,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Karnival Sukan Ansara 2025 di Putrajaya, semalam.
Turut hadir, Presiden ANSARA, Noor Azizee Abd Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif Karnival Sukan ANSARA 2025, Kamarul Bahrin Hamzah.
Shamsul Azri berkata demikian ketika diminta mengulas jika terdapat penjawat awam yang mahu menyertai himpunan itu.
Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Afnan Hamimi Taib Azamudden dilaporkan berkata, kira-kira 300,000 rang dijangka menghadiri Himpunan Turun Anwar yang akan berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad pula dilaporkan berkata, polis menjangkakan antara 10,000 hingga 15,000 orang akan menyertai himpunan itu.
Menurutnya, pihak penganjur sudah membuat pemakluman mengenai himpunan itu kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Sehubungan itu, katanya seramai 2,000 pegawai dan anggota akan ditugaskan bagi membantu melancarkan perhimpunan berkenaan selain menjaga keselamatan peserta dan orang awam.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi