Oleh Akmal Ahmad
BANGI,11 SYAWAL – Satu sidang khas DUN perlu diadakan dalam masa terdekat bagi membahaskan isu mangsa tragedi letupan di Putra Heights bagi memutuskan peruntukan wajar demi membela nasib rakyat yang terkesan.
Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Ahmad Yunus Khairi berkata,tragedi letupan paip gas di Putra Heights, Selangor bukan sekadar satu insiden, tetapi sebuah peristiwa yang mengubah kehidupan ramai penduduk dalam sekelip mata.
“Hari ini, sebahagian mangsa masih dirawat di hospital, sambil memikirkan rumah, kenderaan, harta benda, dan dokumen penting yang musnah.
“Ada juga yang masih berlindung di pusat pemindahan sementara yang serba kekurangan dan tidak selesa, tertanya-tanya sampai bila mereka akan berada di sana dan ke mana arah tuju selepas ini. Malah ada yang gusar adakah tempat itu benar-benar selamat untuk didiami semula.
“Sebagai anak negeri Selangor, kita wajar bertanya, adakah bantuan sebanyak RM10,000 (RM5,000 daripada Petronas dan RM5,000 daripada Kerajaan Persekutuan), atau hanya RM5,000 (RM2,500 masing-masing), benar-benar mencukupi untuk memulakan semula kehidupan, terutamanya dalam sebuah negeri maju yang mempunyai rizab kewangan yang kukuh?
“Bagaimanapun, kita tetap bersyukur. Alhamdulillah, tiada nyawa yang terkorban dalam tragedi ini,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Ahli Dewan Negeri Sijangkang itu, kerajaan negeri Selangor mempunyai keupayaan untuk berbuat lebih daripada bantuan yang ditawarkan.
“Dalam sidang bajet penghujung tahun lalu, diumumkan bahawa rizab kewangan negeri mencecah RM4.37 bilion setakat 7 November 2024, dengan pendapatan tertinggi negeri sebanyak RM2.858 bilion sehingga Disember 2024.
“Malah, peruntukan pelbagai dibawah peruntukan Pejabat Menteri Besar untuk tahun 2025 adalah yang terbesar berbanding tahun-tahun sebelumnya iaitu RM 234 juta.
“Oleh itu, saya menyarankan agar kerajaan negeri menggunakan kekuatan kewangan ini untuk segera membantu mangsa-mangsa yang sedang menanggung kesakitan, tekanan dan kesusahan.
“Sekurang-kurangnya, beban yang mereka tanggung ketika ini dapat diringankan, sementara menunggu keputusan siasatan dan pampasan rasmi yang entah bila akan diterima,” katanya.
Dalam kejadian 1 April lalu, saluran utama paip gas milik PETRONAS terbakar dan mengambil masa hampir lapan jam untuk padam sepenuhnya.
Sebanyak 437 kediaman di Taman Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru dilaporkan terkesan akibat insiden itu, dengan 81 rumah musnah sepenuhnya, 81 lagi rosak sebahagian dan 57 lagi terjejas akibat kebakaran tetapi struktur masih utuh.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi