KITA kini hidup di zaman yang serba canggih. Teknologi semakin berkembang, tetapi soal akhlak dan rasa hormat masih belum tertanam sepenuhnya. Fenomena ‘deepfake’ dalam kalangan pelajar sekolah bukan lagi perkara asing. Sebagai masyarakat, kita tidak boleh menganggap isu ini sekadar jejak sosial sementara.
Kita sering memberi tumpuan kepada akses internet dan kemudahan telefon pintar kepada anak-anak, tetapi kerap melupakan pembinaan kesedaran moral. Aplikasi deepfake kini boleh dimuat turun secara percuma, dan hanya memerlukan beberapa minit untuk menghasilkan kandungan visual yang boleh digunakan untuk memburukkan maruah orang lain.
April lalu, tular satu kes di Johor. Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun didapati menyunting wajah pelajar perempuan, termasuk bekas pelajar ke dalam gambar lucah menggunakan teknologi deepfake. Lebih 38 orang, termasuk pelajar bawah umur 13 tahun turut dikenalpasti sebagai mangsa. Kesemua itu dilaporkan kepada polis, dengan jumlah laporan mencecah 29 pada hari pertama siasatan .
Walaupun gambar itu bukan rakaman sebenar, kesannya tetap besar. Mangsa tertekan secara emosi, reputasinya tercemar, dan ada yang dilaporkan terpaksa berhenti sekolah ekoran tekanan sosial. Perbuatan ini juga menimbulkan persoalan etika dan tanggungjawab dalam era AI yang semakin mudah dicapai oleh remaja .
Ramai pelajar menganggap tindakan seperti ini sebagai gurauan, sedangkan undang-undang mengkelaskan ia sebagai jenayah siber. Manipulasi wajah tanpa izin, terutama apabila diselitkan dalam kandungan tidak senonoh, termasuk dalam pelbagai akta di Malaysia seperti Akta Komunikasi dan Multimedia dan Akta Kanak-Kanak .
Sekolah dan ibu bapa mempunyai peranan penting untuk membina sempadan moral digital. Sekolah perlu menyediakan pendidikan kesedaran digital dan etika, bukan hanya mengajar teknikal penggunaan teknologi, tetapi juga batasan dan kesan kepada orang lain.
Begitu juga ibu bapa mesti lebih peka terhadap siapa anak berkawan, apa yang mereka muat turun, dan adakah mereka memahami nilai maruah dan akhlak dalam dunia digital.
Saya tidak menulis ini untuk menakutkan sesiapa, tetapi sebagai peringatan. Kita mungkin tidak mampu menghalang semua risiko dunia digital sepenuhnya, tetapi kita mampu membentuk sikap dan nilai anak-anak kita. Ini bermula dari kesedaran kolektif di rumah, di sekolah dan dalam masyarakat.
Siti Fatimah Ishak
Wartawan TV Pertiwi