BANGI, 22 MUHARRAM – “Saya dah tua…100 tahun. Saya dah tak boleh berucap lantang seperti dulu. Saya bukan nak rampas tempat orang muda. Kita terima orang muda untuk pimpin negara.
“Bukan saya nak jadi Perdana Menteri sekali lagi, tapi saya nak bagi nasihat. Saya pernah jadi Perdana Menteri selama 24 tahun, dan terlibat dalam politik lebih 80 tahun. Tentulah ada sedikit sebanyak yang boleh saya sumbangkan,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Berucap ketika Himpunan Mandat Negarawan di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar malam tadi, bekas Perdana Menteri sebanyak dua kali menegaskan tidak berhasrat untuk kembali memegang jawatan Perdana Menteri buat kali ketiga.
Sebaliknya, Dr Mahathir berkata, beliau mahu memainkan peranan sebagai penasihat jika Perikatan Nasional (PN) berjaya membentuk kerajaan.
Antara pemimpin PN yang hadir ialah Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Kemunculan Dr Mahathir adalah yang pertama di khalayak umum selepas menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) Ahad lalu. Beliau tiba di lokasi kira-kira jam 10.20 malam dan dilihat berada dalam keadaan sihat sebelum menyampaikan syarahan sebagai penceramah terakhir dalam himpunan berkenaan.

Dr Mahathir berkata, faktor usia membataskan kemampuannya untuk kembali menerajui pentadbiran negara, tetapi bersedia memberikan khidmat nasihat berdasarkan pengalamannya.
Sementara itu, katanya soal kemiskinan masih membelenggu rakyat walaupun Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan pelbagai sumber.
“Negara ini sebenarnya kaya, rakyat patut hidup senang, tapi kalau kita tak tahu urus dan manfaatkan aset yang ada, kita tak akan ke mana.
“Tanggungjawab utama kerajaan ialah menyelesaikan masalah kemiskinan. Kalau PN memerintah, kita akan tumpu untuk kurangkan kemiskinan. Itu tujuan utama kita berkumpul malam ini,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Panel Penasihat State Government 4 (SG4), berkata, PN akan membawa pendekatan kepemimpinan baharu yang lebih terbuka menerima pandangan dan nasihat sekali gus mampu menyelesaikan pelbagai isu rakyat.
“Kalau berlaku perubahan kerajaan, kita akan ada Perdana Menteri yang sedia dengar nasihat. Saya percaya banyak masalah dapat diselesaikan kalau kepemimpinan sanggup terima pandangan,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi