Orang Melayu ‘sedekah’ RM300 juta kepada Netflix pada 2024

MENURUT statistik daripada FlixPatrol, sebuah portal analisis penstriman global, jumlah langganan Netflix di Malaysia pada tahun 2024 dianggarkan mencecah 2.1 juta orang. Walaupun ini adalah anggaran kasar, ia memberi gambaran jelas betapa besarnya pengaruh Netflix dalam kalangan rakyat Malaysia.

Namun, tiada data rasmi menunjukkan pecahan kaum bagi langganan tersebut. Untuk membuat anggaran lebih dekat dengan realiti, kita boleh mengambil kira komposisi penduduk Malaysia pada 2024, di mana kira-kira 60% adalah orang Melayu (walaupun sebenarnya peratusan sebenar menghampiri 70%).

Berdasarkan anggaran ini:

60% daripada 2.1 juta = 1.26 juta orang Melayu yang melanggan Netflix.

Dari sudut langganan pula, harga pelan paling asas (Mobile Plan) adalah RM18.90 sebulan.

Maka, RM18.90 × 12 bulan = RM226.80 setahun bagi seorang pelanggan.

Maka jika 1.26 juta orang Melayu membayar RM226.80 setahun:
1.26 juta × RM226.80 = RM285,768,000

Ini belum termasuk mereka yang melanggan pelan lebih mahal seperti Standard (RM49.90) atau Premium (RM62.90)sebulan.

Jadi secara ringkas, boleh kita simpulkan bahawa sekurang-kurangnya RM300 juta wang orang Melayu telah ‘disedekahkan’ kepada syarikat asing, Netflix, hanya untuk langganan hiburan.

Bukan Isu Hiburan, Tapi Isu Kesedaran

Saya sedar, dalam Netflix bukan semuanya rosak. Ada dokumentari, ada filem sejarah, ada dokumentasi kemanusiaan dan sebagainya.

Tapi kita juga tahu, kandungan majoriti di Netflix jauh menyimpang daripada nilai Islam dan budaya Melayu. Unsur lucah, normalisasi LGBT, agenda Barat dan gaya hidup hedonistik disajikan tanpa tapisan, dan sering kali ditengok seisi keluarga, dari anak kecil hingga dewasa.

Namun saya tidak mahu mengupas panjang dari sudut moral kerana pasti ada yang akan beri hujah ia adalah pilihan peribadi, kerana itu duit masing-masing.

Tapi Soalnya: Kalau Kita Ada Agenda, Kenapa Kita Tak Bertindak?

Sebagai pengamal media Muslim, saya menyeru supaya kita renungi data ini dari sudut ekonomi dan strategi umat:

RM300 juta setahun adalah angka yang sangat besar.

Bayangkan jika jumlah itu disalurkan kepada projek media Islamik, platform dakwah digital, pembinaan dokumentari sejarah Melayu-Islam, atau pembangunan saluran pendidikan untuk anak-anak.

Bayangkan jika separuh daripada jumlah itu disumbangkan kepada media bebas milik anak bangsa yang berjuang memartabatkan nilai dan suara Melayu Islam.

Ini bukan soal dengki kepada Netflix. Ini soal kita bangsa Melayu dan umat Islam yang perlu mula sedar bahawa media adalah medan perjuangan, bukan sekadar hiburan.

Tepuk Dada, Tanya Iman

Kita sering bising apabila ada media asing menyerang Islam, drama Barat mencemuh nilai keluarga atau apabila budaya luar masuk ke ruang tamu kita.

Tapi kita sendiri yang bayar, kita sendiri yang langgan dan kita sendiri yang buka pintu kepada semua itu.

Kalau kita ada kesedaran, kalau kita ada cita-cita membina alternatif, kita mesti mula sekarang.

RM300 juta bukan sedikit. Ia adalah modal perubahan.

Tepuk dada, tanya iman masing-masing.

Mohd Firdaus Salleh Hudin
Ketua Pegawai Eksekutif
TV Pertiwi

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

‘Saya bukan nak jadi PM lagi, cuma nak bagi nasihat’

Next Post

Rafizi kongsi petua, sindir pemimpin belum tahu budaya PKR 

Related Posts