BANGI, 25 MUHARRAM – Ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin diperintah untuk membela diri, manakala bapa kanak-kanak autistik itu dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengabaikan anak mereka yang berusia enam tahun sehingga menyebabkan kecederaan fizikal, dua tahun lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Dr Syahliza Warnoh, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ismanira Abdul Manaf, 30, pada akhir kes pendakwaan.
Namun, pendakwaan gagal membuktikan demikian ke atas Zaim Ikhwan Zahari, 30.
Pasangan suami isteri itu didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai hingga kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari 5 Disember hingga jam 9.55 malam 6 Disember 2023.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ketika penghakiman, Syahliza berkata, setelah meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan secara penilaian maksimum serta hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Zaim Ikhwan pada akhir kes pendakwaan.
“Mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh kedua (Ismanira), dan dia dipanggil untuk membela diri mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.
Ismanira yang memberi keterangan bela diri pada hari ini, memilih untuk berbuat demikian secara bersumpah dari kandang saksi.
Terdahulu, Ismanira dimaklumkan oleh mahkamah bahawa dia mempunyai tiga pilihan, iaitu berdiam diri dan tidak menjawab pertuduhan; memberikan keterangan secara tidak bersumpah dari kandang tertuduh tanpa disoal balas oleh pendakwaan; atau memberikan keterangan secara bersumpah dari tempat duduk saksi dengan pendakwaan diberi peluang untuk mengemukakan soalan ketika pemeriksaan balas.
Selepas mahkamah menyampaikan keputusan, Ismanira dan suaminya dilihat menangis sambil berpelukan serta ditenangkan oleh ahli keluarga mereka.
Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi. Pasangan suami isteri berkenaan pula diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.
Allahyarham Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023 sebelum mayatnya ditemui keesokannya di aliran anak sungai berhampiran rumahnya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi