Antara pena dan kuasa: Media sebelum dan selepas merdeka

BANGI, 21 MUHARRAM – Kita barangkali telah merdeka lebih enam dekad, tetapi benarkah media kita juga sudah bebas? Atau masih terbelenggu oleh belenggu lama yang hanya bertukar bentuk dan penjaga?

Sebelum 31 Ogos 1957, media di Tanah Melayu merupakan medan perjuangan. Akhbar seperti Utusan Melayu, Warta Malaya dan Majlis, menjadi suara rakyat menuntut kemerdekaan. 

Di tangan tokoh seperti Yusof Ishak, Ahmad Boestamam dan Abdul Rahim Kajai, pena menjadi senjata. Mereka bukan sekadar wartawan, tetapi pejuang.

Pada waktu itu, risiko menulis bukan sekadar kehilangan kerja, malah boleh membawa ke penjara, malah lebih buruk dibuang negeri. Namun semangat melawan tetap menyala. Media menjadi suara bagi yang tidak punya kuasa. Ia menyoal, mencabar dan membuka ruang wacana rakyat terhadap penjajahan, penindasan dan ketidakadilan.

Akhbar-akhbar yang dulu melaungkan kebebasan, mula tunduk kepada kuasa politik baharu. Parti-parti pemerintah mula mengambil alih pemilikan media utama. 

Kebebasan bersuara mula dibalut slogan “pembangunan nasional”. Wartawan bukan lagi penentang, tetapi penjaga naratif. Dari mempersoalkan kerajaan kolonial, media mula menjadi ejen menyenangkan hati kerajaan sendiri.

Perubahan ini tidak berlaku semalaman. Namun ia konsisten. Undang-undang seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Akta Hasutan digunakan bukan untuk membendung kebencian, tetapi mengekang kritikan. Bukan untuk menjaga keharmonian, tetapi menutup mulut. Dalam suasana ini, media berkembang bukan atas prinsip kebenaran, tetapi keperluan ‘survival’.

Dari sini, muncul “media jinak” iaitu akhbar dan saluran berita yang hanya melapor satu sisi cerita, memotong kenyataan pembangkang atau lebih malang, diam terhadap isu penting demi ‘kepentingan nasional’.

Namun di sisi lain, muncul juga media alternatif. Bermula sekitar era reformasi 1998, media dalam talian seperti Malaysiakini dan The Malaysian Insider, menawarkan ruang kepada suara yang lama dipinggirkan. Di sinilah, semangat media pramerdeka kembali bernafas, berani, tegas, dan sering diburu.

Kini, media bergerak laju di alam digital. Sesiapa sahaja boleh menjadi penerbit, penganalisis atau penyebar berita. Namun, kebebasan ini datang dengan harga, lautan maklumat palsu. Media menjadi alat propaganda, serta budaya klik yang mendahulukan sensasi daripada integriti.

Lebih malang, ada pihak yang berkuasa menggunakan “kebisingan” digital ini sebagai alasan untuk mengetatkan kawalan, sama ada melalui undang-undang baharu, pengawasan media sosial atau label-label seperti “fitnah” dan “ancaman nasional”.

Persoalannya, apakah media pasca merdeka benar-benar lebih bebas berbanding media sebelum merdeka? Atau kita hanya berpindah dari penjajahan kolonial kepada hegemoni politik domestik?

Media tidak seharusnya menjadi alat kepada mana-mana pihak. Ia bukan musuh kerajaan, tetapi bukan ejen kerajaan. Media adalah pengawal semak dan imbang, `the fourth estate’ yang berfungsi memberi suara kepada yang tidak punya, mempersoalkan yang berkuasa, dan menyampaikan kebenaran tanpa gentar.

Justeru itu, media mesti dibina atas tapak kebebasan editorial, integriti wartawan dan perlindungan undang-undang yang adil. Tanpa ini, kita hanya akan terus bergelut dalam bayang-bayang sejarah apabila pena menjadi hiasan dan bukan perjuangan.

Akhirnya, tanggungjawab ini bukan hanya pada wartawan atau editor, tetapi pada pembaca. Masyarakat yang mahukan media bebas mesti menyokongnya, mempertahankannya, dan lebih penting, menuntutnya.

Jika gagal belajar daripada sejarah media sebelum merdeka, kita mungkin akan menyambut Hari Kebangsaan Ke-100 nanti dengan berita yang tetap ditulis oleh kuasa dan bukan oleh kebenaran.

Oleh: Ziauddin Sharuddin, Wartawan TV Pertiwi

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Kerajaan Kelantan puji tindakan polis gagalkan majlis Gay

Next Post

Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dilantik Ketua Hakim Negara

Related Posts