Ketika rakyat Malaysia melalui minggu yang sarat dengan ketegangan politik dan tekanan kos sara hidup, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, muncul dengan apa yang digambarkan sebagai pengumuman `luar biasa’ melalui pakej seperti bantuan tunai, pelarasan subsidi petrol dan cuti umum tambahan.
Di sebalik gimik dan ayat populis, pengumuman ini menimbulkan persoalan besar, iaitu adakah ini penyelesaian atau sekadar strategi kawalan kerosakan?
RM100: Bantuan atau ujian kesabaran rakyat?
Pengumuman paling ketara ialah pemberian RM100 tunai secara sekali bayar (one-off) kepada seluruh rakyat dewasa warga Malaysia yang membabitkan peruntukan RM2 bilion.
Dari segi angka dan jangkauan, ini nampak luas. Namun dalam konteks ekonomi semasa dengan inflasi makanan terus meningkat, tarif elektrik disemak semula dan harga barangan asas melambung, RM100 adalah strategi jangka panjang yang kosong.
Lebih parah, pengumuman itu hadir di tengah-tengah kemarahan rakyat berhubung penyasaran subsidi diesel yang telah melonjakkan kos logistik dan harga barang. RM100 bukan sahaja tidak menyelesaikan beban ini, bahkan boleh dilihat sebagai cubaan mengaburi kegagalan kawalan harga yang lebih asas.
RON95 RM1.99 Seliter: Sekadar melengahkan kemarahan?
Langkah kerajaan memperkenalkan subsidi bersasar untuk RON95 dengan harga RM1.99 seliter adalah perkembangan penting dalam naratif pengurangan ketirisan subsidi.
Namun penurunan hanya enam sen berbanding harga semasa, iaitu daripada RM2.05 kepada RM1.99 tidak menepati jangkaan ramai, lebih-lebih lagi setelah “teaser” kerajaan menjanjikan sesuatu yang besar.
Di sebalik angka, pengumuman ini memberi isyarat bahawa subsidi akan mula dimeterai menurut kelayakan, bukan lagi secara pukal.
Persoalannya, adakah sistem PADU dan BUDI Madani cukup matang untuk melaksanakan ini tanpa menyingkirkan rakyat yang layak? Jika sistem ini masih belum siap sepenuhnya, pengumuman ini menjadi lebih bersifat retorik daripada realistik.
Hari kelepasan am tambahan: Hadiah atau helah?
Cuti tambahan pada 15 September, sehari sebelum Hari Malaysia, adalah langkah yang dikemukakan sebagai penghargaan perpaduan dan peluang pelancongan.
Namnun, hakikatnya, hari kelepasan am bukan dasar ekonomi dan tidak membawa kesan langsung kepada tekanan hidup harian. Ia membawa nilai simbolik, namun dalam iklim ekonomi mencengkam, simbolisme sahaja tidak cukup.
Dari sudut komunikasi politik, ia juga boleh dilihat sebagai langkah “cooling down” menjelang himpunan besar-besaran rakyat pada 26 Julai, yang semakin mendapat momentum di media sosial.
Di mana nilai jangka panjang?
Kritikan utama terhadap pengumuman ini, termasuk daripada Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari ialah mengenai kekosongan visi jangka panjang. Tiada pelan kukuh mengenai pembaharuan struktur subsidi, tiada perincian reformasi fiskal, tiada langkah konkrit kawalan harga barangan asas, tiada insentif ekonomi sebenar kepada petani, peniaga mikro atau pekerja gig.
Lebih mengecewakan, kerajaan sebelum ini memaklumkan penjimatan RM7.5 bilion hasil rasionalisasi subsidi diesel, tetapi dalam pengumuman hari ini, peruntukan baru hanya RM2 bilion. Ke mana selebihnya?
Retorik `luar biasa’, hasil biasa
Kerajaan menyebut ini sebagai `penghargaan luar biasa’. Namun, dari sudut isi dan impak, ia kelihatan lebih sebagai pengumuman biasa yang dibungkus secara luar biasa dengan siaran langsung, imejan besar-besaran dan jangkaan rakyat yang sengaja dibina seminggu lebih awal.
Berbanding dengan krisis keyakinan yang sedang melanda, inflasi, ketirisan subsidi, tekanan perbelanjaan harian dan hilang hala tuju reformasi, pengumuman ini hanya mengisi ruang sementara, bukan membina penyelesaian sebenar.
Boleh tangguh tekanan, tidak boleh elak penilaian
Pengumuman `penghargaan’ oleh Perdana Menteri memberi sedikit kelegaan jangka pendek kepada rakyat. Namun secara keseluruhan, ia lebih mirip serangan balas komunikasi politik berbanding penyelesaian dasar ekonomi.
Dengan Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai semakin hampir dan tekanan ekonomi terus menggunung, soalnya bukan sama ada RM100 cukup atau tidak, tetapi sama ada rakyat masih percaya kepada hala tuju kerajaan ini.
Kepercayaan itu tidak boleh dibeli dengan hari kelepasan am atau enam sen penurunan harga minyak.
Oleh: Ziauddin Sharuddin, Wartawan TV Pertiwi
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi