BANGI, 22 MUHARRAM – Tanda tanya mengenai Ketua Hakim Negara baharu terjawab tengah malam tadi apabila Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dilantik memegang jawatan tertinggi kehakiman negara.
Datuk Abu Bakar Jais pula dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, sementara Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak.
Ketiga-tiga pelantikan jawatan itu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Berdasarkan kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia dalam laman media sosial Facebook Badan Kehakiman Malaysia, tengah malam tadi, Seri Paduka membuat keputusan itu atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
Menurut kenyataan itu: “Majlis penyampaian watikah pelantikan dan istiadat mengangkat serta menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia di hadapan Yang di-Pertuan Agong akan diadakan pada 28 Julai 2025 di Istana Negara.”
Wan Ahmad Farid menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara wajib pada 2 Julai lalu selepas memegang jawatan Ketua Hakim Negara selama enam tahun.
Abu Bakar pula menggantikan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang bersara wajib pada 3 Julai lalu. Beliau satu-satunya hakim yang menyokong Fatwa Selangor dalam kes Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) pada 19 Jun lalu.

Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan SIS dalam pertikaian berhubung keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar, yang dikeluarkan dan diwartakan 11 tahun lalu.
Azizah pula menggantikan Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak yang bakal bersara.
Selepas persaraan Tengku Maimun, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, diumum menjalankan kuasa dan tugas Ketua Hakim Negara hingga jawatan itu diisi.
Berikutan persaraan Abang Iskandar, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof, dilantik untuk menjalankan kuasa dan tugas Presiden Mahkamah Rayuan hingga jawatan itu diisi.
Siapa Ketua Hakim Negara baharu?
Ramai dalam kalangan pengamal undang-undang menyifatkan Wan Ahmad Farid yang pernah berkhidmat sebagai timbalan menteri sebagai hakim yang adil.
Beliau menjadi Hakim Mahkamah Tinggi antara 2019 hingga 2024, selepas dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 2015.
Berusia 62 tahun, beliau sebelum itu pernah menyandang jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri antara Mac 2008 hingga April 2009, selain menjadi Timbalan Ketua UMNO bahagian Kuala Terengganu pada 2001.
Ketika menjadi Hakim Mahkamah Tinggi, Wan Ahmad Farid membuat beberapa keputusan yang mendapat perhatian ramai, termasuk menarik diri daripada mempengerusikan permohonan untuk membenarkan Queen’s Counsel (QC) dari United Kingdom bertindak bagi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam rayuan kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta.
Beliau memberi alasan bahawa ada ahli keluarganya menjadi ahli UMNO.
Pada 11 Mei 2023, Wan Ahmad Farid memutuskan bahawa anak-anak Loh Siew Hong, memeluk Islam secara sah mengikut undang-undang negeri Islam Perlis, dengan afidavit pihak berkuasa Islam negeri mengesahkan bahawa kanak-kanak itu mengucap kalimah syahadah pada 2020.
Pada November tahun lalu, Wan Ahmad Farid mengarahkan polis menyelesaikan siasatan kematian Teoh Beng Hock dalam tempoh enam bulan, memutuskan bahawa terdapat kelewatan yang melampau dalam siasatan. Ini berlaku selepas beliau membenarkan semakan kehakiman keluarga Beng Hock berhubung insiden 2009.
INFO:
Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh
– 62 tahun (13 November 1962)
– Hakim Mahkamah Rayuan (12 November 2024)
– Hakim Mahkamah Tinggi (8 Ogos 2019)
– Pesuruhjaya Kehakiman (16 Disember 2015)
– Setiausaha Politik kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi
– Ahli UMNO ( kemudian meninggalkan dunia politik pada 2013)
– Timbalan Menteri Dalam Negeri (2008 hingga 2009)
– Senator (2005 hingga 2009)
– Calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu (2009)
Datuk Abu Bakar Jais (BOLD)
– Hakim Mahkamah Persekutuan (13 Jun 2023)
– Hakim Mahkamah Rayuan (5 Disember 2019)
– Hakim Mahkamah Tinggi (21 Mac 2016)
– Pesuruhjaya Kehakiman (8 Julai 2013)
Datuk Azizah Nawawi
– Hakim Mahkamah Rayuan (8 Ogos 2019)
– Hakim Mahkamah Tinggi (12 September 2014)
– Pesuruhjaya Kehakiman (1 November 2012)
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi