BANGI, 13 MUHARRAM – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memohon maaf susulan kenyataannya yang mengaitkan malaikat dalam ucapan politik baru-baru ini, yang tular dan mencetuskan pelbagai reaksi.
Dalam satu hantaran di Facebook, Zahid menjelaskan bahawa kenyataan tersebut dibuat dalam bentuk perumpamaan bagi menggambarkan tekanan yang dihadapi sebagai pemimpin parti, namun beliau mengakui bahawa ia boleh mengundang kekeliruan dan disalah tafsir.
“Sebagai seorang Muslim dan pemimpin parti yang menjunjung tinggi nilai dan prinsip Islam serta tradisi keilmuan, saya dengan rendah hati memohon ampun pada Allah SWT dan meminta maaf pada semua atas kekhilafan dalam keterlanjuran lafaz kata-kata ini.
“Saya menerima setiap teguran dengan hati terbuka. Saya percaya, nilai seorang pemimpin bukan hanya terletak pada ketepatan tutur katanya, tetapi juga pada keikhlasannya untuk menginsafi, memperbaiki diri dan belajar daripada kesilapan.
“Mudah-mudahan Allah SWT membimbing setiap langkah dan tutur kita semua agar sentiasa berada dalam adab yang mulia, terpelihara akidah dan berpaut teguh pada kebenaran yang hakiki,” katanya menerusi hantaran di Facebook, semalam.
Terdahulu, tular ucapan Ahmad Zahid di media sosial yang berkata ‘Jika Allah SWT memerintahkan malaikat menjadi presiden ketika itu, mungkin dia pun lari malam’.
Ucapan itu dibuat ketika Zahid merasmikan mesyuarat UMNO bahagian Sri Gading di Johor.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi