Oleh Akmal Ahmad
BANGI,12 SYAWAL — Gabungan NASIONALIS menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kes pencerobohan tanah haram di Raub sejak 40 tahun lalu.
Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata mustahil pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak menyedari pencerobohan itu yang melibatkan 4,000 ekar tanah.
“Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak berkuasa negeri kerana berani mengambil tindakan tegas.
“Walaupun mengambil masa 40 tahun baru hendak sedar dan pekebun sudah mengaut ratusan juta keuntungan, sekurang-kurangnya perkara ini dapat diselesaikan.
“Sikap menceroboh dan kemudian mempertahankannya sebagai satu tindakan yang sah adalah satu sikap yang keji dan tidak beretika,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi coretan di laman Facebook miliknya hari ini mengulas serbuan pihak berkuasa Pahang di kebun durian Musang King.
Katanya, kelibat ahli parlimen DAP yang menyertai pekebun menghalang agensi penguatkuasa memusnahkan tanaman haram itu amat mengecewakan.
“Difahamkan pihak istana sudah memperkenankan tindakan pihak berkuasa untuk menebang pokok berkenaan bagi menjaga tanah milik kerajaan.
“Moga tindakan sama dapat dilakukan terhadap kawasan tanah lain yang diteroka secara haram.
“Kalau ada pihak yang dikenakan kompaun dan penjara kerana meneroka tanah kerajaan maka tindakan yang sama juga perlu dikenakan kepada pekebun haram,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi