Gaza di ambang lumpuh, PBB rayu Israel benarkan bekalan bahan api

GAZA, 13 MUHARRAM – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa Gaza kini berada di ambang bencana kemanusiaan apabila krisis bahan api yang semakin meruncing akibat sekatan haram rejim Zionis menyebabkan kemudahan penting di wilayah terkepung itu lumpuh satu demi satu.

Pejabat Kemanusiaan PBB (OCHA) dalam kenyataan berkata, bekalan bahan api yang selama ini digunakan untuk menjana operasi penting seperti loji penyahgaraman air dan unit rawatan rapi hospital-hospital utama semakin kehabisan – dengan hampir tiada stok tambahan yang boleh diakses.

“Hospital sedang mencatu bekalan. Ambulans terhenti. Sistem air hampir lumpuh,” tegas OCHA.

OCHA memberi amaran bahawa kematian akibat situasi ini boleh meningkat mendadak sekiranya rejim Zionis terus menghalang kemasukan bahan api ke Gaza.

“Sekiranya pihak berkuasa Israel tidak membenarkan kemasukan segera dan mencukupi bahan api, lebih ramai rakyat Palestin akan mati dalam keadaan menyayat hati,” menurut kenyataan itu.

Rejim pengganas Zionis sejak Mac lalu terus mengetatkan sekatan kejam ke atas Gaza, menyekat keperluan asas rakyat termasuk bahan api, air dan ubat-ubatan.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, rejim hanya membenarkan sedikit bekalan makanan masuk ke Gaza melalui satu pertubuhan tajaan Amerika Syarikat – namun bantuan itu sering disertai serangan tidak berperikemanusiaan, termasuk tembakan terhadap ratusan penduduk Palestin yang terdesak mencari makanan.

Sehingga kini, tiada satu pun tangki bahan api dibenarkan masuk ke wilayah Gaza selama berbulan-bulan.

Pegawai kanan Program Makanan Dunia (WFP), Carl Skau, turut melahirkan kebimbangan terhadap kekurangan bahan api di Gaza yang dilihat menyukarkan operasi bantuan kemanusiaan.

“Keperluan rakyat semakin besar, namun keupayaan kami untuk membantu semakin tersekat. Kebuluran makin merebak, dan rakyat Palestin mati dalam usaha mendapatkan makanan,” katanya dalam satu hantaran media sosial.

Sementara itu, Pengarah Hospital Al-Shifa di Gaza City, Dr Muhammad Abu Salmiya, turut menyifatkan keadaan di pusat perubatan terbesar itu kini sangat kritikal akibat kehabisan bahan api.

“Kami berdepan risiko besar kehilangan lebih ramai nyawa, termasuk pesakit kronik dan bayi dalam inkubator jika bekalan tidak segera sampai,” katanya.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Tidak mustahil Malaysia buat pusingan U soal halangan bukan tarif selepas surat Trump

Next Post

Zahid mohon maaf, akui silap kaitkan malaikat dalam ucapan

Related Posts