Pelantikan hakim: Beri ruang secukupnya kepada JAC

BANGI, 29 ZULHIJJAH — Sebarang dakwaan yang berasas terhadap mana-mana hakim perlu disiasat secara menyeluruh, bebas dan adil mengikut proses undang-undang yang sewajarnya. 

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, mana-mana individu tidak boleh dianggap bersalah tanpa proses perundangan yang sah.

Pada masa sama, katanya Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) sebagai badan yang bertanggungjawab menapis dan mencadangkan pelantikan hakim perlu diberikan ruang secukupnya agar keyakinan awam tidak tergugat.

“Saya memandang serius isu terkini yang melibatkan dakwaan terhadap seorang hakim kanan serta peranan dan tatacara pelantikan oleh JAC. 

“Isu ini bukan sahaja menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat, tetapi memberi kesan kepada kredibiliti serta integriti institusi kehakiman negara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) itu menegaskan bahawa prinsip kedaulatan undang-undang dan kebebasan badan kehakiman perlu sentiasa dipertahankan dan dilindungi daripada sebarang pengaruh atau campur tangan yang mencemari keadilan.

Mas Ermieyati juga menggesa kerajaan dan semua pihak berkepentingan untuk mengamati doktrin pengasingan kuasa dan menghormati peranan JAC mengemukakan calon hakim yang berkelayakan untuk jawatan tertinggi dalam sistem kehakiman negara.

“Rakyat berhak mendapat sistem kehakiman yang bebas, bersih dan telus. Hanya dengan itu kita dapat memastikan keadilan ditegakkan tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Jabatan Peguam Negara fail notis rayuan pelepasan, pembebasan Syed Saddiq

Next Post

Maria Chin gagal rayuan cabar surat tunjuk sebab Mahkamah Syariah

Related Posts