BANGI, 26 ZULHIJJAH — Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, golongan lelaki di negara ini adalah lebih ramai diisytiharkan bankrap berbanding perempuan.
Menurutnya, daripada 25,578 kes kebankrapan yang didaftarkan di seluruh negara antara 2021 hingga bulan lalu, golongan lelaki mencatatkan kes paling tinggi.
Katanya, seramai 18,590 lelaki bankrap, manakala perempuan seramai 6,903 orang sepanjang tempoh itu.
“Kalau ikut statistik, kebanyakan kes kebankrapan ini ramai dalam kalangan lelaki daripada perempuan,” katanya selepas menyempurnakan Program Perdana Literasi Kewangan peringkat IPTA/IPTS di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, hari ini.
Turut hadir Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib dan Timbalan Ketua Pengarah Insolvensi, Azwarnida Affandi.
Mengikut statistik yang dikeluarkan di laman sesawang Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI), sebanyak 25,578 kes kebankrapan didaftarkan di seluruh negara antara 2021 hingga Mei 2025.
Daripada jumlah itu, Selangor merupakan negeri yang mencatatkan kes kebangkrapan paling tinggi iaitu 6,213 kes, disusuli Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (3,412) dan Johor (2,225).
Dari segi umur, individu berusia 35 hingga 44 tahun adalah kumpulan tertinggi terbabit kebankrapan meliputi 10,145 individu.
Sementara itu, Azalina berkata, kerajaan menyasarkan untuk melepaskan kira-kira 200,000 individu daripada masalah bankrap akhir tahun ini.
Beliau yakin sasaran itu mampu dicapai memandangkan maklumat diperoleh dari MdI menunjukkan 186,000 sudah dilepaskan setakat ini.
“Kita harap, hujung tahun ini jumlah itu meningkat kepada 200,000. Kita cuba lepaskan lebih cepat kerana ini arahan daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bagi program Dasar Peluang Kedua,” katanya.
Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2024 memaklumkan Dasar Peluang Kedua akan diperluaskan kepada golongan muda berusia 40 tahun dan ke bawah yang mempunyai hutang tidak melebihi RM200,000.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi