Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, Selasa – Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana bersetuju menaikkan gaji minimum RM1,700, lapor Utusan Malaysia.
Perdana Menteri, berkata dengan komitmen itu menjadikan TNB sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pertama menyahut seruan kerajaan menaikkan gaji minimum.
“Saya ucap terima kasih pengerusi, lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi TNB kerana bersetuju menjadi GLC pertama menyahut seruan kerajaan, naikkan kadar gaji minimum.
“Kemudian meluluskan kenaikan gaji dan pendapatan kepada seluruh warga kerja TNB,” katanya ketika berucap di Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-75 TNB di Kuala Lumpur hari ini.
Anwar berkata sejajar dengan keuntungan yang diraih TNB, syarikat itu tidak melupakan kebajikan pekerja sejak 75 tahun penubuhannya.
Katanya, selain aspek keuntungan, TNB wajar menjadi contoh GLC yang prihatin terhadap kakitangannya.
“Yang menarik dalam pencapaian ini, adalah kesediaan pengurusan TNB untuk melakukan anjakan sesuai dengan peredaran zaman.
“Saya tekankan ada tugas utama bukan bangga dengan keuntungan tetapi prihatin dengan pekerja,” beliau dilaporkan berkata.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI