BANGI, 26 ZULHIJJAH – Kejayaan sesebuah sekolah bergantung kepada sejauh mana potensi yang dapat diangkat oleh pihak pentadbir, kata Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad.
Beliau berkata, negara mempunyai lebih 10,000 buah sekolah yang mana setiap daripadanya memiliki keunikan dan kehebatan tersendiri.
Justeru, peranan untuk meningkatkan potensi setiap sekolah tersebut terletak di bahu pentadbir sekolah.
“Setiap sekolah mempunyai keunikan dan kehebatan masing-masing. PGB adalah pihak yang diberikan amanah mengangkat potensi sekolah,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Tambah beliau, negara juga mempunyai lebih 140 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) yang berperanan meningkatkan kualiti pendidikan.
“JPN dan PPD bertanggungjawab menjadikan sekolah tempat yang seronok dan pemangkin potensi murid-murid. Hanya selepas itu, sekolah akan cemerlang,” tegasnya.
Mengulas sama ada Malaysia mempunyai sekolah yang cemerlang di peringkat global, beliau menegaskan bahawa negara sememangnya ada mencatat kejayaan tersebut, namun bilangannya masih belum mencukupi.
Antara sekolah yang pernah menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Permai di Pulau Pinang dan SK Kanchong Darat, Selangor.
Terbaharu, Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11(1) mencipta sejarah apabila tersenarai sebagai salah satu daripada 10 finalis utama Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2025 bagi kategori Menyokong Kehidupan Sihat.
Sebelum ini, dua lagi sekolah turut melakar pencapaian membanggakan di peringkat antarabangsa iaitu SK Kempadang di Kuantan, Pahang yang tercalon dalam kategori ‘Inovasi’ dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampong Jawa, Klang dalam kategori ‘Menangani Cabaran’.
Menurut Dr Anuar, kejayaan sekolah-sekolah tersebut bukanlah datang secara kebetulan, sebaliknya berpunca daripada gabungan pelbagai pihak yang berperanan membangunkan potensi murid.
“Bila ada guru-guru yang komited untuk membangunkan murid, ada ibu bapa yang sentiasa menyokong usaha guru. Pengetua dan guru besar yang berani berpandangan di luar kotak ‘pendidikan yang jumud’, kehadiran pegawai PPD dan JPN yang sentiasa membuka jalan dan menghulurkan bantuan.
“Maka akan cemerlanglah sekolah demi murid-murid,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan sekolah tidak bergantung kepada pelaksanaan program-program berbentuk kosmetik yang tidak menyumbang kepada pembangunan murid.
“Sekolah tidak perlukan program sorak-sorai, perasmian, pelancaran, peluncuran slogan dan apa sahaja yang tidak membangunkan potensi murid.
“Yang penting ialah aktiviti murid. Sekolah kena fokus pada kemenjadian murid. Itu rahsianya,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi