BANGI, 23 ZULHIJJAH — Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menzahirkan kekecewaan dan dukacita dengan sebahagian keputusan Mahkamah Persekutuan yang menyentuh pemakaian fatwa bertarikh 31 Julai 2014 yang tidak terpakai kepada Sister in Islam (SIS) Forum (Malaysia), serta pertubuhan atau institusi dan sebaliknya, hanya terpakai kepada individu.
Baginda menegaskan bahawa penyalahgunaan perkataan `Islam’ dalam nama dan penerbitan SIS Forum (Malaysia) boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat Islam.
“Sehubungan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan ini, DYMM (Duli Yang Maha Mulia) Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam di Negeri Selangor menggesa agar SIS Forum (Malaysia) tidak lagi menggunakan perkataan “Sisters in Islam” ke atas apa-apa bentuk penerbitan di mana-mana platform yang dikaitkan dengan syarikat mereka.
“Ia supaya perkataan `Islam’ tidak sewenang-wenangnya digunakan untuk faedah dan kepentingan syarikat tersebut,” menurut kenyataan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Senator Dato’ Setia Salehuddin Saidin dalam laman sosial Facebook Selangor Royal Office, semalam
Salehuddin berkata, MAIS menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan, namun tidak bersependapat dengan sebahagian daripada keputusan Mahkamah Persekutuan, terutama yang memutuskan bahawa fatwa bertarikh 31 Julai 2014 hanya terpakai kepada individu, tetapi tidak terpakai kepada SIS Forum (Malaysia), pertubuhan atau institusi.
Menurutnya, MAIS menzahirkan rasa dukacita kerana keputusan Mahkamah Persekutuan secara tidak langsung telah mencampuri urusan pembuatan dan pemakaian fatwa yang berkaitan dengan persoalan hukum syarak.
“MAIS juga menzahirkan kebimbangan bahawa keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan dalam kes ini akan membuka ruang kepada kumpulan tertentu yang tidak bertanggungjawab untuk berselindung di sebalik nama Islam dalam sesebuah syarikat, pertubuhan atau institusi bagi mengamal dan menyebarkan ajaran sesat yang bertentangan dengan ajaran Islam supaya tindakan penguatkuasaan tidak dapat diambil terhadap mereka.
“Di samping itu, jika perkara ini dibiarkan berterusan, ia akan mengelirukan dan boleh menjejaskan akidah umat Islam,” katanya
Pada masa sama, katanya MAIS bersetuju dan menyokong penuh pendekatan penghakiman bertentangan (dissenting judgment) daripada Hakim Dato Abu Bakar Jais yang menyatakan bahawa bidang kuasa untuk memutuskan pertikaian berhubung dengan fatwa adalah bidang kuasa Mahkamah Syariah berdasarkan kepada pendekatan hal perkara (subject matter approach).
Beliau berkata, Abu Bakar juga menyatakan walaupun dalam kes ini syarikat yang terlibat bukan merupakan `orang sebenar’ (natural person) yang boleh menganut agama Islam, namun syarikat ini tertakluk kepada fatwa.
Katanya, ini berdasarkan kepada nama SIS iaitu `Sisters in Islam’ yang jelas menunjukkan identiti Islam serta aktiviti syarikat ini yang mengeluarkan penerbitan dan kenyataan tentang hal-hal berkaitan agama Islam.
“Ini ditambah pula dengan fakta bahawa pengasas dan pengarah syarikat berkaitan adalah terdiri dari kalangan orang Islam. Pendekatan penghakiman bertentangan adalah selaras dengan hujah yang dikemukakan oleh MAIS dalam kes ini yang merujuk kepada konsep `orang buatan’ (artificial person) atau syakhsiyyah ‘itibariyyah dalam kehakiman dan jurisprudens Islam yang membolehkan tindakan diambil terhadap sesebuah syarikat atau pertubuhan,” katanya.
Salehuddin berkata, MAIS memberi jaminan bahawa MAIS bersama-sama badan penguatkuasa agama di Selangor akan sentiasa memantau dan menjalankan penguatkuasaan bagi memastikan ajaran sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam ini dapat dibanteras.
Selain itu, katanya MAIS menggesa dan menasihatkan masyarakat Islam untuk tidak terlibat atau memberikan sokongan terhadap apa-apa program yang berkaitan dengan fahaman yang telah difatwakan sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam termasuk fahaman liberalisme dan pluralisme agama.
Beliau juga menegaskan komitmen MAIS untuk meneliti dan mengambil tindakan sewajarnya dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri serta sokongan institusi Raja bagi tujuan memperkasa perundangan sedia ada demi memartabatkan kedudukan agama Islam selaras dengan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi