Oleh: Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 26 SYAWAL – Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memanggil Pengasas Bersama SCRUT, Aliff Ahmad.
Menurut Tun Faisal, tindakan SKMM itu akan menyebabkan rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap kerajaan dan mencetuskan persepsi bahawa suruhanjaya menjadi ‘alat’ untuk menindas rakyat biasa.
“Bukan ada kesalahan pun nak ‘SCRUT’ Nurul Izzah (Anwar). Nurul Izzah ini siapa? Bukan PM (Perdana Menteri), bukan menteri dan bukan raja-raja pun.
“Bila SKMM buat macam ini, mereka hanya akibatkan rakyat makin hilang kepercayaan kepada PM10,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Aliff hari ini dipanggil ke SKMM selepas memuat naik hantaran di Facebook ingin membuat carian latar belakang terhadap Naib Presiden PKR yang juga anak kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui ‘SCRUT’.
Difahamkan, Aliff dipanggil malam tadi selepas dihubungi pegawai SKMM sebelum dia memaklumkan akan hadir ke pejabat suruhanjaya itu pagi ini.
Dalam pada itu, Exco Armada BERSATU, Na’im Brundage menyifatkan tindakan SKMM itu adalah keterlaluan dan merupakan satu bentuk penyalahgunaan kuasa.
Katanya, berdasarkan penilaian terhadap kandungan media sosial Aliff, dia tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah.
“Tawaran beliau untuk menyemak latar belakang anak Perdana Menteri juga tidak melanggar mana-mana peruntukan undang-undang negara. Sebaliknya, tindakan ini sepatutnya dipuji sebagai usaha ke arah mewujudkan budaya politik yang lebih telus di negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini.
Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi