KUALA LUMPUR, 16 ZULHIJJAH — Seorang pempengaruh yang mengkritik cara pihak polis menguruskan kes Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB) didakwa di Mahkamah Sesyen Jenayah Siber di sini, hari ini atas pertuduhan membuat komunikasi jelik untuk menyakitkan orang lain.
Tertuduh, Norizan Yahaya atau lebih dikenali sebagai Zam Yahaya bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Zam Yahaya pada 15 September tahun lepas antara jam 2 hingga 6 petang, melalui Youtube dengan menggunakan akaun Zam Yahaya Official secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi lain yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Transkrip itu telah dibaca pada 16 September 2024 pada kira-kira jam 8 malam di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ di Wangsa Maju.
Oleh itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Dalam video tersebut yang dimuatnaik pada 15 September tahun lalu, Zam mendakwa dakwaan mengajar liwat oleh individu dalam organisasi itu ‘adalah fitnah’ berdasarkan nalurinya, selain mengajak orang ramai berfikiran rasional dalam menilai tuduhan terhadap GISB.
Bapa kepada lima anak itu diwakili oleh peguam Asiah Jalil manakala pendakwaan dikenalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amir Hannif.
Hakim Norma Ismail menetapkan 11 Julai depan untuk sebutan kes bagi serahan dokumen dan memutuskan jaminan RM7,000 dengan satu penjamin selepas permohonan mengurangkan wang jaminan dibaca oleh Asiah.
Antara lain, Asiah berkata tiada percubaan oleh Zam, malah lelaki itu turut memaklumkan kepada pihak polis pergerakannya semasa ke luar negara.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi