BANGI, 16 ZULHIJJAH — Ketika ahli keluarga penumpang pesawat Air India berusaha mencari insan tersayang di Hospital Awam Asarwa, Ahmedabad, seorang lelaki berusia 40 tahun, Vishwash Kumar Ramesh terbaring di katil wad am, satu-satunya penumpang yang setakat ini terselamat daripada nahas yang mengorbankan ramai nyawa itu.
“Tiga puluh saat selepas berlepas, terdengar satu bunyi kuat dan kemudian pesawat terhempas. Semuanya berlaku dengan pantas,” kata Vishwash, yang mengalami kecederaan akibat hentakan di bahagian dada, mata dan kaki.
Pesawat Air India yang dalam perjalanan ke Gatwick, sebuah Boeing 787-8 Dreamliner membawa 242 orang termasuk kru, berlepas pada jam 1.38 tengah hari semalam dan terhempas dalam beberapa minit sahaja sebelum terbakar.
Menurut Air India, 169 daripada 230 penumpan merupakan warga India, 53 warga Britain, tujuh warga Portugal dan seorang warga Kanada.
Vishwash, seorang warga Britain, berada di India beberapa hari untuk melawat keluarganya dan sedang dalam perjalanan pulang ke United Kingdom bersama abangnya, Ajay Kumar Ramesh, 45..
Masih memegang pas masuk penerbangan, Vishwash memberitahu: “Apabila saya bangun, mayat bergelimpangan di sekeliling saya. Saya sangat takut. Saya terus bangun dan berlari. Ada serpihan pesawat di mana-mana. Seseorang menarik saya dan memasukkan saya ke dalam ambulans sebelum membawa saya ke hospital.”
Vishwash berkata, dia menetap di London selama 20 tahun, dan isterinya serta anak turut menetap di sana.
Beliau memberitahu bahawa abangnya, Ajay, duduk di barisan berlainan dalam pesawat. “Kami baru sahaja melawat Diu (bandar di Gujarat). Dia pulang bersama saya, tetapi kini saya tidak dapat mencarinya. Tolong bantu saya cari dia,” rayunya.
Di bahagian lain hospital, ahli keluarga dan kenalan penumpang pesawat itu turut mencari saudara-mara mereka yang hilang.
Antara mereka ialah ahli keluarga bekas Ketua Menteri Gujarat, Vijay Rupani, yang turut berada dalam penerbangan itu. Sailesh Mandliya, bekas pembantu kepada Rupani, dilihat berada di hospital mencari bekas ketua menteri itu.
“Kami sedang mencarinya. Jika anda tahu apa-apa, tolong maklumkan kepada saya,” kata Mandliya – Hindustan Times
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi