BANGI, 29 ZULKAEDAH — Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dijangka tidak akan meletakkan jawatan meskipun tewas dalam pemilihan Timbalan Presiden PKR, walaupun sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk berundur sekiranya tidak memegang sebarang jawatan dalam parti.
Menurut Dr Nur Ayuni Mohd Isa dari Sekolah Pengajian Afrika dan Orient (SOAS), University of London, Rafizi dijangka kekal dalam kerajaan kerana khidmatnya masih diperlukan untuk memperkukuh dasar-dasar ekonomi negara.
“Tindakan beliau bertanding dalam pemilihan parti, bukan sebagai petanda untuk berundur daripada kerajaan. Aspirasi PKR yang berteraskan demokrasi adalah ruang yang bebas untuk jawatan timbalan presiden dipertandingkan.
“Pemilihan ini lebih kepada usaha memperkukuhkan kedudukan dan pengaruh beliau dalam PKR bagi memastikan kesinambungan dan keselarasan antara hala tuju parti dan dasar kerajaan,” katanya kepada TV Pertiwi.
Dr Nur Ayuni menambah bahawa Rafizi menunjukkan komitmen tinggi dalam membawa pendekatan rasional dan berasaskan data dalam merangka dasar ekonomi negara.
Terbaharu, beliau hadir dalam Sidang Kemuncak ASEAN 2025 yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur, di mana Malaysia menjadi pengerusi pada tahun ini.
Dalam Pemilihan Timbalan Presiden PKR 2025, pertembungan antara Nurul Izzah Anwar dan Rafizi dianggap sengit, dengan Nurul Izzah menang besar memperoleh 9,803 undi berbanding 3,866 undi yang diraih Rafizi — jurang hampir 6,000 undi.
Pemilihan tersebut berlangsung semasa Kongres Nasional PKR di Johor Bahru, melibatkan 32,030 perwakilan daripada 222 cabang parti yang mengundi.
Nurul Izzah merupakan calon pilihan utama dan menerima sokongan terbuka daripada lebih separuh ketua cabang PKR seluruh negara. Pemilihan ini turut mencetuskan ketegangan dalaman dan dakwaan nepotisme, berikutan hubungan kekeluargaannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Rafizi sebelum ini pernah menyatakan bahawa beliau tidak mahu terus menjadi menteri jika tidak memegang sebarang jawatan dalam parti. Beliau memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR pada 2022 selepas menewaskan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, namun pernah tewas kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 2018.
Selepas kemenangan Pakatan Harapan bersama Barisan Nasional dan gabungan dari Borneo membentuk kerajaan, Rafizi dilantik sebagai Menteri Ekonomi dalam Kabinet pimpinan Anwar Ibrahim.
Sejak memegang portfolio ekonomi, Rafizi memperkenalkan Pangkalan Data Utama atau PADU yang mengumpulkan data-data rakyat Malaysia untuk tujuan mengagihkan subsidi dengan lebih bersasar.
Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Kartini Aboo Talib turut bersetuju bahawa tiada keperluan untuk Rafizi meletakkan jawatan menteri, memandangkan beliau dilantik berdasarkan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Pandan.
“Mengapa perlu letak jawatan sedangkan beliau menyandang jawatan tersebut secara sah, melainkan beliau dipecat oleh perdana menteri.
“Rafizi tak perlu panik. Jika beliau meletakkan jawatan, ia bermakna usaha dan dedikasi beliau untuk pengukuhan ekonomi ibarat mencurah air ke daun keladi,” katanya.
Kartini berkata, jawatan Rafizi perlu dikekalkan sehingga tiba Pilihan Raya Umum ke-16. Ini kerana katanya tewas dalam pemilihan dalaman PKR tidak mewajibkan Rafizi meletakkan jawatan di peringkat persekutuan.
Dr Kartini menambah, jawatan Rafizi wajar dikekalkan sekurang-kurangnya sehingga Pilihan Raya Umum ke-16, kerana kekalahan dalam pemilihan dalaman parti tidak menjejaskan kedudukannya di peringkat kerajaan Persekutuan.
Sementara itu, penganalisis dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, walaupun ada individu lain yang berpotensi menggantikan Rafizi, tindakan drastik untuk berundur masih menjadi teka-teki.
“Saya berpandangan Rafizi cenderung untuk meletak jawatan, namun mungkin akan dipujuk untuk terus kekal atas dasar tanggungjawab, kepercayaan dan harapan rakan-rakan dalam kerajaan,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi