Oleh Kamil Awang
BANGI, 16 SYAABAN — Institut Penyelidikan dan Strategi Antarabangsa (IRIS) tidak menolak kemungkinan Israel akan kembali menyerang Gaza jika tahanan tidak dibebaskan hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim berkata Amerika Syarikat (AS) dan Israel kini sedang melihat reaksi masyarakat dunia.
“Banyak benda yang disebutkan Presiden AS Donald Trump itu belum tentu boleh dibuat tetapi beliau akan desak untuk pihak lain beri reaksi terhadap kenyataannya.
“Tidak semestinya Trump boleh melakukan apa yang dihajatinya. Cuma setakat ini hanya perang cakap dan masing-masing sedang mengumpul reaksi.
“Saya tidak nafikan jika betul Hamas tidak bebaskan tahanan hari ini kerana Israel melanggar perjanjian gencatan senjata, mungkin serangan akan berlaku kembali,” katanya.
Hamas hari ini bersetuju membebaskan tiga tahanan lelaki yang diculik pada 7 Oktober 2023 dengan Israel dijangka membebaskan 369 tahanan dari penjara.
Hamas mengumumkan tiga tahanan itu adalah Iair Horn, warga AS, Sagui Dekel-Chen (Israel) dan Alexandre Sasha Troufanov (Rusia-Israel).
Ditanya serangan dan pencerobohan Israel di Tebing Barat, Syed Ahmad Israa’ berkata Israel menunjukkan mereka masih mahu menjajah Palestin.
Katanya, pencerobohan ke atas Tebing Barat menunjukkan kekejaman mereka ke atas rakyat Palestin yang tidak termasuk dalam gencatan senjata.
“Mereka faham untuk menekan rakyat Palestin ini bukan sahaja di Gaza tetapi termasuk rakyat Palestin yang berada di Tebing Barat.
“Menekan Tebing Barat, Israel menunjukkan mereka masih belum berundur dan tidak menghentikan rancangan untuk mengambil alih Palestin.
“Mereka ingin menunjukkan siapa yang sedang berkuasa. Tebing Barat tidak termasuk dalam gencatan senjata,” katanya.
Syed Ahmad Israa’ berkata Israel juga tidak menunjukkan komitmen untuk meninggalkan Gaza apabila masih meletakkan tenteranya di kawasan sempadan.
Katanya, kawalan itu terbukti dengan kawalan tentera penjajah di Koridor Philadelhi dan saki-baki di Koridor Netzarim.
“Di Netzarim pun masih ada tentera yang berjaga. Apa yang mereka kata untuk berundur itu masih tidak sepenuhnya. Mereka bersedia untuk kembali kawal sepenuhnya.
“Apa yang saya faham mereka berundur di sempadan Gaza bermakna mereka masih berada di keliling cuma tentera tidak berada di dalam.
“Kali ini jika ada serangan seterusnya, mereka yang akan tentukan senario dan hasilnya. Jadi mereka tidak akan benarkan lintasan sepenuhnya dibuka,” katanya.
Ikuti media sosial TV PERTIWI:
https://www.instagram.com/tvpertiwiofficial/