Oleh: Akmal Ahmad
BANGI, 9 SYAWAL – Tarif timbal balik 24% yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap beberapa barangan import dari Malaysia mampu mengheret ekonomi negara ke dalam tekanan ‘tiga serangkat’, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Menurut beliau, langkah oleh AS seperti diumumkan Presiden Donald Trump baru-baru ini, akan memberi kesan besar terhadap Malaysia kerana negara sedang berdepan cabaran global, tekanan dalaman serta dasar fiskal yang belum disesuaikan sepenuhnya.
“Perkembangan ini adalah serius dan membimbangkan kerana ia mengheret ekonomi negara terjerumus ke dalam situasi tekanan ‘tiga serangkai’ akibat kesan global, cabaran dalaman dan dasar fiskal yang belum disesuaikan,” katanya dalam kenyataan media baru-baru ini.
Menurut Ahli Parlimen Larut itu, sebelum pelaksanaan tarif berkenaan, lebihan dagangan negara telah merosot ketara dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
“Pada 2024 telah merosot kepada RM136.88 bilion berbanding RM214.10 bilion pada 2023 dan RM255.10 bilion pada 2022.
“Standard & Poor (S&P) juga melaporkan bahawa Indeks Pengurusan Perolehan atau Purchasing Manager’s Index (PMI) bagi sektor pembuatan negara mengalami penguncupan bagi tempoh 26 bulan dari 27 bulan terakhir,” katanya.
Hamzah berkata, keadaan akan menjadi lebih parah apabila kadar tarif asas elektrik bagi sektor industri turut dijangka meningkat mulai Julai ini, sekali gus memberi tekanan berganda kepada pemain industri.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mengambil langkah segera bagi melindungi industri eksport tempatan, khususnya sektor pembuatan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang bakal terkesan teruk dengan peningkatan kos perniagaan serta kelembapan permintaan global berpunca daripada kenaikan tarif tersebut.
Hamzah mencadangkan beberapa langkah segera termasuk pelaksanaan penangguhan cukai dan penubuhan dana bantuan khas sama ada dalam bentuk geran padanan mahupun pinjaman kewangan kepada industri terpilih.
“Langkah ini penting supaya mereka tidak gulung tikar atau terpaksa mengurangkan tenaga kerja demi menyesuaikan diri dengan cabaran global dan domestik,” katanya.
Hamzah turut mencadangkan agar kerajaan menawarkan insentif eksport yang lebih segar dan menarik untuk membantu industri tempatan meneroka pasaran baharu bagi menangani dampak pelaksanaan tarif timbal balik tersebut.
Pada masa sama, beliau menyambut baik inisiatif Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang menggunakan platform Mesyuarat Khas Menteri Ekonomi ASEAN 2025 bagi menyelaraskan tindak balas rantau ini terhadap dasar baharu Amerika Syarikat.
Beliau mengingatkan Kerajaan supaya bersikap telus dan berpijak pada realiti dalam berkomunikasi dengan rakyat dan pemain industri mengenai cabaran semasa ekonomi.
“Kerajaan tidak boleh berselindung di sebalik angka di atas kertas kerana penyelesaian kepada masalah rakyat dan negara bergantung kepada pelan tindakan yang berasaskan realiti, bukan ilusi,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi