Oleh Balqis Idris
BANGI, 8 SYAWAL — Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP) menegaskan seruan jihad adalah kewajipan yang tidak boleh dilengahkan.
Pengerusinya, Muhammad Fauzi Asmuni berkata, sikap bertangguh dalam tuntutan jihad hanya akan menambah dosa di sisi Allah SWT kerana ia melibatkan nyawa umat Islam di Palestin.
“Ia adalah seruan yang wajib disahut oleh semua umat Islam khususnya pemimpin negara Islam.
“Melengahkan pelaksanaannya hanya akan menambahkan dosa di sisi Allah,” katanya dalam satu kenyataan kepada TV Pertiwi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) semalam menjelaskan Muzakarah Majlis Hal Ehwal Islam Kebangsaan (MKI) akan bermesyuarat dalam kadar segera.
Datuk Mohd Nai’m Mokhtar berkata, mesyuarat itu bagi meneliti fatwa Kesatuan Ulama Sedunia berkaitan isu pencerobohan Israel ke atas Gaza.
Muhammad Fauzi berkata Malaysia tidak perlu membuang masa bermesyuarat kerana Israel mendapat sokongan penuh Amerika Syarikat (AS) tanpa berlengah.
Katanya, kecuaian umat Islam terhadap nasib rakyat Palestin menjadi punca utama penderitaan berpanjangan sehingga puluhan ribu nyawa terkorban.
“Tiada apa yang perlu dikaji atau difikirkan lagi. AS dan sekutunya memberikan Israel segala yang diperlukan untuk kemenangan Israel tanpa bertangguh walau seminit pun.
“Terlalu banyak kecuaian dilakukan oleh umat Islam terhadap umat Palestin. Puluhan ribu yang terkorban dan kemusnahan bangunan dan lain-lain.
“Bukan hanya kesalahan Israel yang membunuh mereka tetapi juga umat Islam yang berdiam diri dan hanya memerhati tanpa melakukan apa-apa,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi