Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 8 SYAWAL — Serangan Israel awal hari ini menyasarkan dua buah hospital di Semenanjung Gaza dengan mengorbankan dua mangsa termasuk seorang wartawan.
Sumber hospital memaklumkan sembilan lagi cedera termasuk enam wartawan yang mendirikan khemah di luar hospital, lapor AP.
Wartawan TV Palestine Today, Yousef Al-Faqawi terkorban dalam serangan dua pagi tadi waktu tempatan bersama seorang lagi mangsa selepas khemah mereka terbakar.
Tentera Penjajah Israel (IOF) mendakwa serangan itu ditujukan kepada pejuang Hamas dengan cuba mengelak daripada menyasarkan orang awam.
Serangan IOF yang menyasarkan khemah di Hospital Al-Aqsa turut mencederakan tiga mangsa dan mengorbankan dua penduduk di rumah mereka di Deir Al-Balah.
Hospital Nasser juga dilaporkan menerima 13 jenazah termasuk enam wanita dan empat kanak-kanak dalam serangan berasingan semalam.
Israel kembali melancarkan serangan ke atas Gaza sejak 18 Mac lalu selepas gencatan senjata fasa pertama gagal diteruskan.
Bantuan kemanusiaan seperti makanan dan bekalan air bersih juga dihentikan menghimpit penduduk Gaza kembali kepada kebuluran.
Taufan Al-Aqsa pada 2023 menyaksikan Hamas berjaya menahan 251 tahanan dengan 59 daripada mereka dipercayai masih berada di Gaza.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi