Oleh Kamil Awang
KUALA LUMPUR, 25 RAMADAN — Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) tidak wajar mengikut acuan Singapura.
Bekas perdana menteri itu berkata RUU berkenaan wajar mengikut kehendak penduduk setempat dalam mengupayakan pembangunan ekonomi mampan.
“Malangnya hari ini wakil kita tidak menyuarakan pandangan majoriti. Kerajaan bertanggungjawab untuk bertanya kepada rakyat apa pendapat mereka berkenaan RUU itu.
“Kalau mereka kata kita tiru Singapura tetapi amat jelas kita tidak mahu tiru Singapura. Kita mempunyai masalah yang berlainan daripada mereka.
“Masalah perkauman dan kemiskinan. Kita perlu bangunkan bandar-bandar kita supaya lebih selesa untuk rakyat dan tidak dipandang rendah oleh pihak luar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu majlis berbuka puasa di sini semalam bersama pimpinan politik dan badan bukan kerajaan (NGO).
Katanya, RUU PSB yang diketahui setakat ini tidak mencerminkan keadilan selepas hanya mementingkan pihak pemaju hartanah.
“Umumnya kita berpendapat bahawa RUU ini tidak adil dan ia menekan pihak yang tidak berupaya. Ia memihak kepada pihak yang sudah pun kaya-raya.
“Saya berpendapat apabila sesuatu undang-undang hendak diluluskan, rakyat yang terlibat dan terkena kesan perlu diberi peluang untuk menyuarakan pendapat mereka,” katanya.
Tun Mahathir berkata pembangunan Kampung Baru di Kuala Lumpur perlu dinilai semula selepas ia dilihat ketinggalan berbanding bangunan pencakar langit.
Katanya, imej Kampung Baru perlu dipulihkan agar ia mampu menjadi tumpuan pelancong sekaligus menjana pendapatan kepada penduduk setempat.
“Saya sedih apabila pelawat datang dari luar negara dan dibawa untuk melihat Kampung Baru, amat jelas sekali ia jauh ketinggalan berbanding bangunan di sekeliling.
“Kita tidak mahu lihat keadaan sebegini. Kita mahu Kampung Baru dibangunkan sesuai pembangunan negara dan terancang.
“Tetapi tidak ada usaha yang dibuat untuk memberi pertimbangan terhadap masalah rakyat apabila pembangunan dilakukan,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi